Keunikan Bas Dua Alam Menjadi Tarikan


KUALA NERUS - Mampu bergerak dalam air dan daratan, itulah keunikan bas dikenali sebagai Amphicoach yang bakal menjadi tarikan terbaharu di Terengganu sejak tiba di negeri ini bulan lalu.

Amphicoach atau bas amfibia kerana cirinya yang mampu berfungsi di darat dan dalam air adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini dan ke-13 di dunia.

Bas dua alam yang ditempah khas dari Malta pada 2014 itu dibeli pada kos RM3 juta sebuah.

Selepas menjalani sesi pandu uji di Sungai Terengganu sebaik tiba di negeri ini minggu lalu, bas berkenaan kini dipertontonkan pada umum dalam Ekspo Terengganu 2018, di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus sehingga Sabtu ini.

Keistimewaan bas ini ternyata menarik perhatian pengunjung yang tidak pernah melihat kenderaan itu dan mengakui teruja apabila dapat menyaksikan bas berkenaan secara dekat.

Pengunjung Abdullah Yusof, 65, berkata sebelum ini dia hanya melihat bas berkenaan di kaca televisyen dan tidak sangka dapat melihat kenderaan itu secara dekat.

"Saya tidak pernah terfikir dapat melihat bas seperti ini," katanya pesara kakitangan kerajaan dari Wakaf Mensira ini.

Bagi, Siti Aisyah Munirah Zulkifli, 16, dari Kampung Wakaf Tapai, Marang dia pernah melihat bas berkenaan yang viral di laman sosial dan sangat teruja untuk melihat secara dekat.

"Saya teruja dan tidak sabar untuk merasai sendiri keseronokan naik bas dalam air ini," katanya.

Amphicoach berwarna putih ini mampu memuatkan maksimum 47 penumpang. Ia boleh dipandu sehingga kelajuan maksimum 110 kilometer (km) sejam di darat, dan kelajuan di air pula boleh mencapai maksimum lapan knot.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman, berkata bas berkenaan berkapasiti 6,870cc.

Beliau berkata, sesi pandu uji pertama bas berkenaan minggu lalu berjalan lancar dan bas berkenaan yang dipenuhi penumpang ketika itu berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.

Mengikut perancangan, bas berkenaan akan ditempatkan di Tasik Kenyir sebagai tarikan baharu untuk orang ramai ke lokasi pelancongan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Rosli berkata, selain digunakan sebagai tarikan pelancongan, bas ini juga boleh dimanfaatkan ketika bencana banjir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Tazak berkata, Amphicoach itu akan sekali lagi diuji oleh Jabatan Kerja Raya selepas Ekspo Terengganu tamat.

"Kemudian kita akan melalui proses penerimaan jenis kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mendapatkan lesen daripada Jabatan Laut.

"Selepas semua proses itu selesai barulah bas berkenaan akan beroperasi untuk umum," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com