Ketum Terbaik Dari Malaysia


KUALA LUMPUR – Ketum yang terbaik hanya dari Malaysia dan kerajaan perlu menerokai potensinya dalam bidang perubatan pada peringkat antarabangsa.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Zahidi Zainul berkata, sekiranya negara terus mengharamkan penerokaan ketum maka negara akan kehilangan pendapatan kerana permintaannya amat tinggi dari segi aspek perubatan.

“Permintaan dunia cukup tinggi terhadap ketum. Kita tidak mahu Indonesia sahaja yang mainkan peranan bekalkan ketum kepada mereka (negara Barat).

“Ketum yang terbaik adalah dari Malaysia, sampai hari ini negara luar tidak mahu keluaran lain hanya keluaran Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan majlis taklimat ketum bersama agensi-agensi kerajaan malam tadi.

Jelas Zahidi lagi, negara-negara luar seperti Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat memerlukan bahan mentah ketum untuk kajian farmaseutikal dalam menghentikan ketagihan dadah antaranya kokain.

“Negara-negara ini mahu bekalan mentah terutamanya Jerman, Belanda, Amerika Syarikat untuk mereka buat kajian dan kita akan hantar wakil kita.

“Mereka akan buat kajian bagaimana masalah dadah ini dihentikan dengan menggunakan ketum.


“Ada yang mohon dalam bentuk sachet dan pil. Kita hantar tetapi ada setengah pendapat profesor di USM mahu kita buat semua itu di sini. Buat kajian dan ubat sendiri dan dihantar keluar negara,” katanya lagi.

Antara yang terlibat dalam kajian bersama Risda ialah Pusat Racun Negara, Jabatan Kajian Racun USM, dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sesi taklimat itu dilakukan bagi membuat rangka kerja bagaimana untuk memohon kepada kerajaan untuk meluluskan tanam ketum dan penggunaan di dalam negara.

Isu ketum hangat diperkatakan sejak tahun lepas apabila Zahidi ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman ketum berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal luar negara.

“Kita sebenarnya jauh terlambat dari Jerman dan Indonesia sebab kita lambat dari segi patenkan ketum, kalau negara luar proses ketum jadi ubat maka kita rugilah.

“Pendapatan dari penanaman ketum amat tinggi, kalau nak bezakan getah dengan ketum, sekilogram dijual RM10…Bayangkan pendapatan orang kampung meningkat dua kali ganda,” katanya.

Sebelum itu, penawaran daun ketum telah dipelopori Indonesia, Filipina dan Vietnam yang bertindak menjadi pengeksport kepada bahan itu kepada negara-negara luar. 

Sumber -MalaysiaGazette.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com