Kerajaan Pusat Komited Beri Sokongan Kuat Kepada Jelapang Padi Negara


ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan komited untuk terus memberi sokongan yang kuat kepada Kerajaan Negeri Kedah khususnya dalam memberikan peruntukan lebih banyak bagi memantapkan pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, Kedah berhak untuk mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat sebagai satu tanda penghargaan ekoran daripada statusnya yang merupakan negeri jelapang padi negara.

"Negeri Kedah akan terus mendapat sokongan yang kuat daripada Kerajaan Persekutuan.

"Kedah menjadi jelapang padi untuk negara dan kita mesti menghargai sumbangan yang besar kepada negara," katanya ketika merasmikan majlis Penutup Ekspo Muafakat Kedah di perkarangan Stadium Darulaman, di sini petang ini.

Justeru itu Mohd Najib berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus berkongsi kemakmuran dan kekayaan ekonomi negara bersama Kerajaan Negeri Kedah agar terus memberi khidmat terbaik buat rakyat di negeri ini.

Turut hadir bersama Perdana Menteri adalah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri turut melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2019-2035 sebagai salah satu agenda utama yang berterusan oleh Barisan Nasional (BN) untuk kemajuan dan pembangunan rakyat di negeri jelapang padi ini.

Selain itu, Mohd Najib turut mengumumkan bahawa Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) akan dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ekspo yang julung-julung kali diadakan itu berlangsung meriah selama lapan hari dan telah dikunjungi lebih 500,000 orang pengunjung, sekali gus berjaya melepasi sasaran awal iaitu seramai 400,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com