Keldai Dadah: Melancong 10 Hari Bertukar Derita 10 Tahun


LIMA, PERU - Pada 2008, Noor Azimah Sapie, sepatutnya hanya bercuti ke Peru selama 10 hari selepas mendapat tawaran melancong percuma.

Dia terpesona dengan tawaran yang turut diberikan wang saku AS$1,000 dan hanya dikehendaki membawa sampul apabila pulang ke Malaysia. Ketika itu dia berusia 28 tahun dan sudah menjanda selepas kematian suami.

Azimah, kini 38 tahun, lupa tarikh sebenar dia berlepas, tetapi segar dalam ingatan dia meninggalkan seorang anak lelaki berusia 11 tahun bersama keluarganya di Malaysia.

Percutian yang sepatutnya hanya 10 hari, bertukar mimpi ngeri sehingga terpaksa mengharungi kehidupan serba kekurangan selama 10 tahun di negara asing.

Petang ini (Isnin 26 Mac) dia tiba di Malaysia dan sangat teruja untuk bertemu semula anaknya yang kini berumur 21 tahun.

"Saya rindu sangat dengan dia. Saya kesal dengan apa yang berlaku. Ini kerana kebodohan saya. Saya nak tebus kesilapan dan bersatu semula dengan anak saya.

"Saya nak membantu dia yang sudah mendapat tawaran kerja, selain sambung belajar.

"Saya juga akan belikannya jam tangan bertali kulit yang dia minta," katanya sambil teresak menangis pada pertemuan di sini, Sabtu lalu.

Azimah kembali ke Malaysia hasil usaha Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) dan BH dengan bantuan serta kerjasama Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Peru.

Misi dimulakan selepas BH menyiarkan laporan eksklusif pada akhir 2016 mengenai rayuan Azimah, Nor Suzanna Azmi dan Syzlin Hataman yang terkandas di sini, semua akibat terpengaruh dengan tawaran melancong oleh anggota sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Syzlin dari Johor Bharu yang menghidap kencing manis dan asma, bagaimanapun meninggal dunia di sebuah hospital di sini, pada 7 Oktober tahun lalu.

Azimah yang pulang bersama anak, Qistina Maisara Alarcon Sapie, 8, hasil perkahwinan dengan warga Peru, Emilio Ignacio Alarcon Leon @Osman, 41, bernasib baik kerana tidak merengkuk dalam penjara seperti Suzanna dan Syzlin.

Dia hidup sebagai pendatang tanpa izin dan gelandangan di negara asing selama 10 tahun.

Kerja di restoran

Wanita yang dilahirkan di Terengganu, dibesarkan di Negeri Sembilan dan menetap di Kuala Lumpur sebelum terkandas di Peru, menghadapi keperitan hidup sepanjang di sini, tetapi terhutang budi kepada lelaki Peru itu.

Osman yang ditemui di sebuah hotel selepas dua kali gagal keluar dari Peru kerana ditipu sindiket terbabit, banyak membantunya, termasuk bekerja sebagai pembantu di restoran tempat lelaki itu bekerja.

"Pada awalnya, saya ada wang lebihan daripada duit poket sebanyak AS$1,000 itu.

"Duit itu pun habis dan saya terpaksa bergantung harap kepada Osman untuk menyambung hidup," katanya.

Dia yang naif tidak tahu di mana untuk cari bantuan, pada awalnya tidak tahu ada kedutaan Malaysia di sini.

Sering kali Azimah terpaksa menebal muka meminta bantuan kewangan daripada keluarga di Malaysia, terutama abangnya yang tinggal di Ampang, Kuala Lumpur.

Dia sedar abangnya tidak mampu menyara hidupnya di sini, namun mujur Osman terus membantu walaupun pendapatan tidak seberapa.

Dalam tempoh itu Azimah buntu, tetapi Osman banyak membantu dan akhirnya mereka berkahwin Namun, kehidupan mereka tidak banyak berubah, terutama apabila Qistina makin membesar dan mula bersekolah.

Abangnya ada meminta bantuan beberapa pihak di Malaysia untuk membawa dia pulang, manakala Azimah sering menemui pegawai kedutaan yang juga banyak membantunya.

Dia pasrah bersama suami membesarkan Qistina dengan menyewa rumah flet yang kecil.

Nasibnya berubah apabila penulis bertemunya bersama Suzanna pada November 2016 ketika membuat liputan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketika ditanya sama ada mahu pulang, kedua-duanya teruja meminta penulis membantu mereka.

Osman tidak pulang bersama Azimah kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara dan akan menyertai mereka kemudian.

"Saya balik dulu. Dia akan datang kemudian. Apa yang penting saya dan Qistina pulang untuk meneruskan hidup di tanah air yang lebih terjamin berbanding di Lima.

"Saya akan tinggal dengan abang dan cari kerja walaupun sebagai tukang cuci untuk menyara hidup bersama Qistina dan anak lelaki yang telah lama saya abaikan.

"Daripada sengsara di tempat orang lebih baik balik ke Malaysia dan buka buku kehidupan baharu di negara sendiri," katanya yang mahu melupakan pahit getir merempat 10 tahun di Peru.

Azimah juga bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

Kepada rakyat Malaysia, dia berharap kejadian menimpanya dijadikan pengajaran dan jangan terpedaya janji manis sesiapa sahaja dengan tawaran keluar negara untuk bekerja dengan gaji lumayan walaupun daripada orang yang rapat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com