Kedah Tumpu Perkukuh Pertahanan Jumpa Negeri Sembilan


ALOR SETAR –  Pasukan Kedah yang Dibolosi lapan gol dalam empat perlawanan Liga Super menyaksikan benteng pertahan Kedah dilihat agak goyah dan perkara itu sudah pasti membimbangkan penyokong Helang Merah menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, malam ini.

Bagi pemain pertahanan berpe­ngalaman Helang Merah, Khairul Helmi Johari mengakui situasi itu agak membimbangkan namun dia dan rakan sepasukan ter­utama di barisan pertahanan akan berusaha lebih keras untuk tidak membenarkan Negeri Sembilan mudah membolosi mereka.

Jelasnya, dia dan rakan-rakannya akan melangkah ke padang malam ini dengan anggapan pertemuan menentang Negeri Sembilan sebagai ‘penentu hidup mati’ dan mereka akan berusaha keras untuk memastikan Piala FA yang dimenangi musim lepas kekal di Kedah.

“Sudah tentu kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menang ke atas Negeri Sembilan, bermain di laman sendiri kami akan memanfaatkan kelebihan itu sebaik mungkin.

“Persiapan pasukan dari segi mental dan fizikal berada dalam keadaan baik, dibolosi dengan jaringan yang agak banyak sudah tentu memberi kebimbangan namun ini saingan yang berbeza dan kita mempunyai rekod yang baik dalam kejohanan ini,” katanya memetik Utusan Online.

Terdahulu, Kedah menewaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir musim lalu untuk muncul juara Piala FA buat kali keempat.

Namun lawan mereka kali ini adalah pasukan yang turut berjaya layak ke peringkat separuh akhir 2017 sebelum dikecewakan Pahang.

Selain itu, perlawanan pertama ini juga bakal menjadi tugasan pertama jurulatih baharu skuad Hobin Jang Hobin, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang membantu Kedah muncul juara treble 2007 dan 2008. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com