Kedah Hab Pengeluar Automotif Terkemuka Eropah Untuk Pasaran ASEAN


Siapa sangka Gurun, Kedah akan jadi pengeluar kereta terkemuka Peugeot dan Citroen dari Eropah bagi pasaran  ASEAN.

NAZA Corporation Holdings Sdn Bhd (Naza Group) dan Groupe PSA (PSA) membentuk pakatan strategik dengan menjadikan kilang pemasangan Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Gurun,  sebagai hab pengeluaran kenderaan Peugeot dan Citroen bagi pasaran ASEAN.


Sebagai pemain automotif global dan pengeluar automotif kedua terbesar Eropah, PSA yakin dan komited dengan pasaran di Malaysia dan ASEAN. 

Kerjasama itu, melibatkan perjanjian penjualan saham dan usahasama dua pihak bagi kilang NAM, bakal menyaksikan PSA menguasai kepentingan majoriti dalam urusan perniagaan NAM.


Naza Group bertanggungjawab sepenuhnya dalam pengedaran jenama Peugeot, Citroen dan DS Automobiles di pasaran domestik, manakala PSA akan meneroka prospek pengedaran di pasaran ASEAN lain.


Fasiliti NAM, yang beroperasi sejak 2004, memiliki jumlah pekerja 450 orang dan kapasiti pengeluaran hingga 50,000 unit.


Kerjasama Naza Group dan PSA mengukuhkan lagi perkongsian yang ditubuhkan sejak 2008 untuk membangunkan perniagaan mampan dan menguntungkan di Malaysia dan rantau ASEAN. Pelaburan PSA di NAM juga akan menyaksikan pelaksanaan platform modular EMP2 untuk segmen C dan D.


Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diwakili Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Naza Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin, manakala PSA diwakili Naib Presiden Eksekutif (China dan Asia Tenggara), Carlos Gomes.


Ia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sebelum ini, PSA adalah antara pengeluar automotif yang bersaing dengan Kumpulan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk membeli pegangan ekuiti dalam Proton Holdings Berhad.


"Mewujudkan hab ASEAN di Gurun  adalah lonjakan penting untuk Groupe PSA yang bakal membawakan perkembangan dalam perniagaan yang menguntungkan di rantau ini sebagai sebahagian daripada pelan strategik kami.

 Kami gembira dapat bekerjasama dengan Naza dan akan terus memanfaatkan hubungan kami ini,” ujar Carlos Tavares, Pengerusi Groupe PSA.

Sementara itu SM Nasarudin  menyatakan kesyukuran  dengan sokongan dan keyakinan Groupe PSa terhadap Naza yang menjadikan rakan kerjasama ini.


"Melalui perjanjian sefahaman ini, ia memberi potensi besar bagi Kedah sebagai hab pembuatan automotif terkemuka di Malaysia,” ujarnya. 

Sumber: Pandulaju com.my

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com