Kedah Bakal Bina Konsep Unik Box Park Di Tanjung Chalie


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah kini dalam usaha membangunkan lagi negeri tersebut.

Sehubungan usaha itu satu projek Box Park Alor Setar akan dibangunkan sebagai tarikan baharu di bandaraya ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga mahu menghidupkan semula persekitaran Dataran Tanjung Chali, Pekan Cina dan Pekan Melayu yang sebelum ini agak suram.

Projek usahasama itu dimeterai antara anak syarikat milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) iaitu Global Media Communication Sdn Bhd dengan Eastern Infrastructure Development (EiD) dan DXN Holdings Berhad.

Sehubungan itu, satu majlis menandatangani kerjasama (MoU) diadakan antara Global Media Communication Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Iruwati Ibrahim; EiD diwakili Pengarahnya, Datuk Zulkifli Ishak serta Pengerusi DXN Holdings Berhad, Datuk Dr Lim Siow Jin.


Majlis tersebut turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Jelas Iruwati, projek ini merupakan sebuah pembangunan pusat perniagaan dua tingkat yang menyediakan ruang niaga untuk disewa.

“Lokasinya strategik dan terletak di kawasan tarikan pelancong yang berkunjung ke bandaraya ini terutama Tanjung Chali, suasana menarik untuk aktiviti perniagaan berkonsepkan santai kerana menghadap Sungai Kedah,” katanya.

Konsep pembinaan Box Park ini akan memperkenalkan suatu keunikan iaitu daripada kontena terpakai, dan telah lama dilaksanakan di negara Barat.

“Kita mahu bawa konsep sama ke Kedah, konsep ini makin popular memandangkan ia mesra alam, selain tempoh pembinaan yang singkat dan kos rendah,” katanya.

Katanya lagi, Box Park bakal menawarkan pelbagai jenis saiz ruang niaga mengikut keperluan dan kesesuaian peniaga.

“Terdapat ruang niaga untuk makanan, minuman serta ruang makan terbuka dan berbumbung. Sebuah ruang terbuka serba guna turut disediakan di tengah bangunan dan sesuai untuk aktiviti  kebudayaan atau perniagaan,” katanya.

Menurutnya, kemudahan seperti surau dan tandas turut disediakan kepada pengunjung.

“Kita harap Box Park ini jadi tarikan baharu bandaraya Alor Setar, dan dapat meriahkan kawasan sekitar dengan aktiviti yang positif selain menghidupkan suasana malam di sini. Ia juga bakal menjana pendapatan penduduk setempat terutama belia, selain menyumbang kepada pembangunan negeri ini,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com