Jemaah Pondok Kedah Puji Peranan PM Pentingkan Hubungan Ulama' Dan Umara'


JITRA – Persatuan Jemaah Pondok-Pondok Kedah mengiktiraf bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan contoh terbaik sebuah kerajaan yang konsisten mementingkan hubungan di antara golongan ulama' dan umara' di negara ini.

Pengerusinya, Ustaz Sabri Osman berkata, gabungan mantap antara golongan tersebut mampu menonjolkan kekuatan Islam selain menjadi benteng kepada anasir-anasir luar yang bertentangan dengan agama, sekali gus membantu menangkis fahaman ekstremisme.

"Kerajaan hari ini sememangnya banyak memberikan perhatian kepada kepentingan pendidikan agama dan institusi agama memandangkan hari ini banyak perkara yang tidak kita ingini berlaku seperti kewujudan fahaman yang berlawanan.

“Sebab itu dengan adanya bantuan seperti institusi tahfiz dan pondok ini, kerajaan boleh bertukar-tukar pandangan dalam usaha memartabatkan lagi agama Islam di negara ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian sejurus selepas menghadiri program sarapan pagi dengan Perdana Menteri bersama pelajar tahfiz di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah Pondok Tanjung Kapur, di sini pagi tadi.

Selain itu, Ustaz Sabri mengulas bahawa pemerkasaan institusi tahfiz dan pondok melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) misalnya jelas membuktikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat mengambil berat golongan agamawan di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Najib berkata pendidikan agama di peringkat sekolah pondok sangat dekat di hati kerajaan dan ia akan tetap diangkat menjadi dasar dan agenda penting kerajaan. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com