Jeff Bezos Manusia Paling Kaya Di Dunia


SAN FRANCISCO - Jeff Bezos secara rasmi adalah manusia paling kaya di dunia hasil kejayaan syarikatnya, Amazon, dengan visi beraninya menjangkau ke angkasa lepas.

Dengan harga saham Amazon meningkat hampir 60 peratus sejak beberapa tahun lalu, kekayaan peribadi pengasas syarikat berusia 54 tahun itu, meningkat dua kali ganda kepada lebih AS$110 bilion (RM430.38 bilion).

Bezos mengatasi Bill Gates minggu ini untuk menduduki tempat teratas senarai jutawan tahunan majalah Forbes, menyebabkan pengasas Microsoft jatuh ke tempat kedua dengan kekayaan bernilai AS$90 bilion (RM352.13 bilion).

Beliau memecahkan rekod dengan formula kejayaan termasuk melakukan taruhan berani, menerajui perubahan dan bangkit daripada beberapa halangan.

"Anda perlu kuat dan mudah menyesuaikan diri berdepan cabaran selain cepat dan inovatif untuk melakukan perkara baharu dengan lebih pantas, itu adalah pertahanan terbaik menghadapi masa depan.

"Anda perlu selalu ke hadapan. Jika anda cuba menjauhi masa depan, masa depan akan menang setiap masa," kata Bezos dalam temu bual diterbitkan majalah Vanity Fair tahun lalu. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com