Jangan Timbulkan Kekacauan Di Langkawi PRU14 Nanti - Amaran polis


ALOR SETAR - Pihak Polis akan mengambil tindakan segera untuk membanteras sebarang kegiatan yang boleh menimbulkan keadaan huru-hara di Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti memandangkan pulau peranginan ini merupakan salah satu kawasan panas PRU14.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Dr Che Ghazali Che Awang semalam berkata persiapan terperinci telah dibuat bagi menghadapi situasi yang tidak diingini termasuk memantau bahan-bahan yang disebarkan melalui media sosial.

"Pihak Polis akan bertindak serta-merta berdasarkan undang-undang yang ada dan saya meminta semua pihak supaya jangan menggunakan media sosial untuk mengirim bahan-bahan yang boleh mencetuskan kemarahan," katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Hari Polis ke-211 yang diadakan di Ibupejabat Polis Daerah Langkawi.

Tambahnya, perancangan Polis untuk menghadapi pilihan raya ini cukup sistematik dan rapi dengan melibatkan anggota-anggotanya menjalani kursus tambahan di Alor Setar dan Kuala Lumpur.

Kawasan Langkawi dijangka menjadi medan persaingan sengit dalam pilihan raya ini berikutan ura-ura bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia akan bertanding di kawasan Parlimen di sini.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com