Jangan Risau Dengan Penularan Beguk


SEGAMAT - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr  S. Subramaniam menasihati masyarakat agar tidak bimbang dengan penularan penyakit beguk yang dilaporkan di sebuah sekolah di Pahang kerana penyakit itu adalah gejala ringan yang biasa.

Bagaimanapun katanya, kementerian itu akan meningkatkan pemantauan selain mengambil langkah lebih proaktif dalam mengawal penularannya.

“Dari sudut sains dan teknologi beguk boleh diterima, masyarakat tak payah takut… kementerian turut bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk melakukan pemantauan terhadap penyakit berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Segamat pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan seramai 70 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Agama Kuala Lipis, Pahang dijangkiti beguk sejak 20 Februari lepas.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Pahang  untuk mengenal pasti punca sebenar penularan penyakit tersebut  di sekolah berkenaan.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata kesedaran masyarakat bagi mengekang penularan penyakit yang turut dikenali sebagai kluster ‘mumps' itu perlu dipertingkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata bagi mereka yang mengalami simptom-simptom seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur) perlu segera mendapatkan khidmat nasihat doktor.

Penyakit beguk disebabkan jangkitan virus paramikxovirus dan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengan air liur pesakit.

Mengenai program Jualan Sentuhan Rakyat, beliau berkata program yang digerakkan oleh pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri bersama agensi kerajaan dan swasta termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kesemua barangan yang dijual pada program ini menawarkan harga kira-kira 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” kata Dr Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat.

Sementara itu, Presiden MIC tersebut  berkata jentera parti MIC kini dalam persiapan akhir bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Hanya ada beberapa perkara yang masih dalam peringkat perbincangan termasuk senarai calon yang akan bertanding namun  ini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya dalam masa terdekat, katanya.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com