Isu Lofa Diharap Selesai Secara Baik - Teman Artis


KUALA LUMPUR - Insiden Neelofa dikecam teruk oleh netizen ekoran majlis pelancaran koleksi terbaru hijabnya di pusat hiburan turut mendapat perhatian rakan artis yang pernah melalui situasi sama dengan pelakon dan pengacara terkenal itu.

Tanpa niat mahu menuding jari atau menyebelahi mana-mana pihak, dua selebriti sensasi, Zizan Razak dan Uqasha Senrose, yakin pasti ada hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku.

Zizan, 33, yang pernah dikecam netizen kerana dianggap biadap ketika mengendalikan Festival Filem Malaysia ke-29 berkata, sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, beliau percaya Neelofa tahu apa yang dilakukannya.

"Saya kenal Neelofa. Sebagai seorang yang bijak, saya tahu dia boleh mengendalikan kontroversi ini dengan baik, tanpa terpengaruh dengan sikap netizen yang hanya tahu menghentam.

"Cuma, apabila ia mengaitkan soal agama, kita kenalah berhati-hati. Mungkin isu ini boleh membuka mata banyak pihak dan juga menjadi pengajaran untuk semua wanita, sama ada yang mengenakan hijab ataupun tidak," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pandangan sama dengan artis serba boleh itu, Uqasha, 25, berasakan netizen perlu memberikan peluang kepada pelakon drama rantaian Suri Hati Mr Pilot itu.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku dan sebagai seorang yang pernah melalui situasi sebegitu, apa yang boleh saya katakan, Neelofa kena banyak bersabar.

"Kalau dibaca komen ditinggalkan, ia memang menyakitkan hati, jadi tak payah baca. Harap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan penuh diplomasi," kata pelakon sensasi ini.

Kontroversi tercetus apabila netizen berang dengan tindakan Neelofa menganjurkan majlis pelancaran koleksi tudung terbaru dan sambutan ulang tahunnya yang ke-29 di pusat hiburan, yang disifatkan mereka tidak sesuai serta bertentangan dengan imej berhijab aktres terbabit.

Isu berkenaan juga mendapat perhatian golongan agama termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menulis surat terbuka buat aktres berkenaan.

Enggan kontroversi itu berlanjutan, syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar, NH Prima International Sdn Bhd, membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com