Ibu Bapa Jenis Apa Ni? Sanggup Kurung Anak Dalam Kotak Selama 4 Tahun!


SACRAMENTO - AMERIKA SYARIKAT. Sepasang suami isteri di California, Amerika Syarikat ditahan pada Khamis lalu atas dakwaan melakukan kekejaman dengan sengaja selepas didakwa 'mengurung' anak mereka dalam kotak papan lapis dalam keadaan serba daif di kawasan gurun Joshua Tree.

Tiga anak kepada Daniel Panico, 73, dan Mona Kirk, 51, ditemui dalam ruang sempit itu yang dipenuhi najis mereka selain timbunan sampah sarap.

Jurucakap Jabatan Syerif San Bernardino berkata, mangsa berusia 11, 13 dan 14 tahun itu juga mengalami malnutrisi dan dipercayai telah tinggal di dalam kotak itu selama empat tahun.

"Pemeriksaan awal menunjukkan tiada tanda penderaan fizikal berlaku ke atas mereka yang juga tidak bersekolah. Kotak yang terdapat beberapa lubang besar itu berukuran 6 meter (m) panjang dan 1.2 m tinggi serta 3 m lebar. Ia tidak dilengkapi bekalan elektrik atau air walaupun suhu di kawasan tersebut mencecah sehingga 48 darjah Celsius.

"Siasatan mendapati Kirk tinggal di dalam kotak itu bersama anaknya manakala Panico tinggal di dalam treler," katanya.


Sementara itu, Kapten Trevis Newport menerusi Twitter memaklumkan pasangan tersebut telah membiarkan anak mereka tinggal dalam keadaan tidak selamat dengan keadaan persekitaran yang kotor dan sempit.

Penemuan mengejutkan itu dibuat selepas timbalan syerif kawasan itu mengadakan rondaan dan terlihat timbunan sampah sarap, alat permainan dan perabot di kawasan tersebut pada awal minggu lalu. 

Sumber- Daily Mail

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com