Guru Meninggal Ketika Kayuh Basikal


BESUT - Aktiviti berbasikal seorang guru Pra Sekolah berakhir khabar menyedihkan apabila dia mati mengejut, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kita jam 9 pagi, Alias Abd Ghani, 32, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud, di sini dipercayai terkena serangan jantung ketika berbasikal bersama seorang rakannya yang juga guru di sekolah sama.

Rakannya, Zuhairi Md Dawam, 47, berkata, mangsa tidak sedarkan diri ketika berhenti rehat di tepi jalan selepas mengadu keletihan berhampiran simpang tiga Kampung Lapan Kotak, di sini.

Menurutnya, beliau membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Besut dan tidak lama kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

“Sebelum itu, kami berdua bertolak dari sekolah (SK Tengku Mahmud) kira-kira jam 8 pagi untuk pergi ke Lata Belatan, Jabi,” katanya.

Zuhairi berkata, selepas kira-kira empat kilometer mengayuh basikal, beliau perasan Alias seperti keletihan dan tertinggal jauh di belakangnya.

Menurutnya, melihat keadaan mangsa, dia meminta mangsa mengayuh di hadapan namun apabila sampai di tempat kejadian mangsa memberi isyarat mahu berhenti.

“Dia kata tidak larat lagi untuk meneruskan kayuhan kerana keletihan tetapi ketika itu dia biasa sahaja cuma memang nampak letih sikit.

“Lalu saya tinggalkannya di wakaf sementara saya pulang semula ke sekolah untuk mengambil kereta untuk  bawanya pulang kerana dia sudah kepenatan,” katanya.

Zuhairi berkata, sebaik dia tiba semula di tempat itu , dia dapati penduduk kampung sudah berada berhampiran mangsa  yang  sudah tidak sedarkan diri.

Menurutnya, beliau bergegas bawa Alias ke Hospital Besut namun sepuluh minit selepas berada di unit kecemasan hospital, pegawai perubatan memaklumkan Alias sudah meninggal dunia.

“Saya amat terkejut dengan kejadian ini kerana ketika mula mahu mengayuh pagi tadi , dia sihat dan ceria malah memberitahu sampai ke Lata Belatan.

“Kami sering melakukan aktiviti berbasikal bersama sejak empat tahun lalun kadang-kadang kami kayuh  sehingga ke Lata Tembakah, Hulu Besut.

“Dia nampak sihat dan tidak pernah mengadu mengalami sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Jenazah Alias dibawa pulang ke  rumah ibu bapanya di Pelong, Setiu untuk dikebumikan di sana dan meninggalkan seorang isteri (suri rumah) dan dua anak lelaki berusia dua dan empat tahun.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com