Guna Tiket Rasmi Saja: FMLLP


KUALA LUMPUR - Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menggalakkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) supaya hanya menggunakan tiket perlawanan yang dikeluarkan secara rasmi oleh badan pengelola itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, ini berikutan ada segelintir pasukan yang mengeluarkan beberapa versi tiket perlawanan sekali gus mengelirukan penyokong sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan penjualan tiket palsu.

Justeru, cadangan terbabit dilihat mampu menjadi mekanisme yang terbaik dalam usaha membendung kegiatan penjualan tiket palsu selepas gejala tidak sihat itu sekali lagi muncul dalam kancah liga tempatan musim ini.

"Tiket rasmi yang dikeluarkan FMLLP memiliki beberapa ciri keselamatan jadi sebab itulah kita tidak menggalakkan pasukan supaya mengeluarkan tiket sendiri. Ini yang menyebabkan penyokong dibiasakan dengan beberapa jenis tiket sehingga mereka menjadi mangsa tiket palsu.

"Kebanyakan tiket yang dikeluarkan oleh pasukan adalah membabitkan tiket tambahan bagi sesuatu perlawanan. Kita pernah mengesan perkara ini dan sudah menasihatkan pasukan supaya tidak meneruskan lagi aktiviti itu.

"Bagaimanapun, kita akan terus mendidik penyokong dan juga pasukan terhadap penekanan mengenai ciri keselamatan yang ada pada tiket rasmi supaya dapat membantu mereka untuk mendapatkan tiket perlawanan yang betul. 

"Dengan mengenali ciri keselamatan yang ada pada setiap tiket perlawanan, saya yakin penyokong sendiri dapat menentukan sama ada tiket yang dibeli itu palsu ataupun tidak," katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) mengesan sebanyak 10 tiket palsu digunakan untuk memasuki stadium pada aksi pertembungan 'tetangga Borneo' bertemu Sarawak di Stadium Likas, 24 Februari lalu.

Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang berkata, tiga daripadanya dikesan di pintu masuk manakala tujuh lagi selepas pemeriksaan lanjut terhadap bahagian tiket yang sudah dikoyak sekali gus bermakna tujuh tiket palsu digunakan pada perlawanan itu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com