Guna Taktik Curi Motor, Jual Pada Warga Asing


Kajang: Jual motosikal dan komponen kenderaan curi kepada pekerja asing. Itu modus operandi sindiket curi motosikal yang aktif melakukan kegiatan mereka sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas anggota sindiket berkenaan ditahan polis dalam serbuan berasingan dijalankan di sekitar daerah ini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, penahanan enam lelaki berusia 16 hingga 26 tahun itu berjaya menyelesaikan tujuh kes dilaporkan bagi tempoh Januari lalu hingga semalam yang dipercayai didalangi kumpulan berkenaan.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menjual motosikal curi kepada individu warga asing yang bekerja di ladang dan kuari di sekitar Hulu Langat, di sini.

“Selain itu, mereka juga meleraikan komponen motosikal curi untuk dijual secara berasingan kepada ‘pelanggan tetap’,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, ujian saringan air kencing dijalankan terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah Methampetamine.

“Semakan mendapati tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau berhubung kesalahan curi motosikal dan empat suspek mempunyai rekod membabitkan dadah.

“Semua suspek direman lima hari bermula 21 hingga hari ini (semalam) dan akan disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya memaklumkan pihaknya turut merampas beberapa motosikal dan komponen curi dilakukan kumpulan berkenaan.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com