Gulai Temenung Kuala Kedah Paling Power!


KUALA KEDAH 28 Feb. - “Di Alor Setar, di kawasan mana tempat orang ‘berjogging’ petang-petang? Sejak datang ke sini tiga hari lepas, aku makan tak henti-henti”

Itu keluhan seorang rakan yang datang bertugas ke bumi Jelapang Padi bagi membuat liputan mengenai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar baru-baru ini.

Antara yang menyebabkan kawan itu gagal dalam misinya untuk makan dalam jumlah sedikit adalah ketika menikmati hidangan gulai ikan kembung atau lebih dikenali sebagai ikan temenung di Kuala Kedah.


Bagi orang bandar sepertinya, keaslian masakan kampung hasil air tangan penduduk tempatan memang sukar ditandingi oleh peniaga di kota besar.

Apatah lagi harga dan kualiti ikan serta makanan laut ditawarkan jauh lebih berpatutan berbanding di Kuala Lumpur.

Salah satu gerai gulai temenung paling popular di Kuala Kedah sudah tentunya Gerai Kak Yang Gulai Temenung yang terletak di sebelah pasar nelayan, Jeti Pendaratan Ikan, Kampung Seberang Kota.

Diasaskan oleh pasangan suami isteri, Azmi Sudin, 66, dan Sabariah Zin, 64, gerai tersebut yang mula diusahakan sejak 10 tahun lalu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung termasuk yang datang dari jauh.

Menurut Azmi yang mesra dipanggil sebagai Pak Lang Mi, selain gulai temenung hasil air tangan isteri tercinta, pengunjung juga gemar membawa pelbagai jenis makanan laut seperti ke­tam, udang, sotong, kerang dan siput ke gerainya untuk dimasak.


“Pengunjung terutamanya orang luar biasanya mendapatkan semua barangan segar itu di pasar nelayan yang terletak bersebelahan gerai dan memberi kepada kami untuk dimasak.

“Antara jenis masakan yang sering menjadi pilihan adalah sambal tumis, masak lemak cili api, goreng kunyit dan sos,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, meskipun gerainya hanya terletak di tepi jeti, ramai dalam kalangan orang ternama yang singgah di situ antaranya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Selain itu, gulai temenung isteri saya juga pernah menerima tempahan dari istana salah sebuah negeri berdekatan. Saya difahamkan, mulanya pihak istana mahu mencemar duli ke sini, namun atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, kami diminta menghantar gulai temenung ke istana,” katanya.

Azmi berkata, bagi mengekalkan rasa dan kualiti masakan, pekerja mahupun anak-anaknya yang membantu tidak terlibat langsung dalam proses memasak gulai temenung tersebut.

“Semua kerja-kerja memasak hanya akan diuruskan isteri saya. Kami tak mahu rasa masakan itu ‘lari’ sehingga menimbulkan rasa tak puas hati dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Sumber: Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com