FAM Cungkil Bakat Wanita Di Kedah


ALOR SETAR - Festival Akar Umbi Wanita FIFA/FAM 2018 yang berlangsung di Stadium Mini Pendang, pada Sabtu berjaya menarik penyertaan lebih 130 pelatih bawah 12 tahun di sekitar daerah ini dan Kota Setar.

Program yang dibawa khas oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke Kedah ini turut diwakili oleh Ketua Unit Wanita FAM, Puan Normala Rashid dan kakitangan unit berkenaan dengan karnival bola sepak 9 sebelah wanita turut diadakan.

Menurut Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob, program ini perlu untuk meneruskan kejayaan skuad wanita Kedah yang menjuarai kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Wanita dan Naib Juara Piala Tun Sharifah Rodziah 2017.

"Program akar umbi ini penting untuk mengesan dan melahirkan lebih ramai bakat baru khususnya daripada pembangunan akar umbi di Kedah yang dapat diketengahkan hingga ke peringkat kebangsaan,” kata Suraya.

"Pendedahan ilmu di peringkat awal ini sangat penting dalam melahirkan bakat muda yang layak dan seterusnya mampu mencipta nama di peringkat kebangsaan," ujarnya memetik MyMetro.

Selain itu, pendekatan ini adalah salah satu objektif FAM untuk melihat lebih banyak program sebegini dijalankan di seluruh negara.

Program yang dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Kedah, Datin Seri Hizam Awang Ahmad bersama ini turut menyediakan pelbagai program yang dirangka oleh FAM bertujuan mencungkil bakat muda dalam bola sepak serta membuka peluang kepada pemain muda mendalami teknik bola sepak menerusi klinik bola sepak untuk wanita bawah 12 tahun.

"Selain program pengenalan pada bola sepak, karnival ini juga menampilkan kejohanan bola sepak 9 sebelah wanita yang menyaksikan Kedah A muncul juara manakala tempat kedua milik Kedah B diikuti Perlis A dan Perlis B,” jelasnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com