Empat Rakyat Malaysia Suspek 'Macau Scam' Ditahan Di Thailand


BANGKOK - Empat suspek rakyat Malaysia dalam sindiket penipuan 'Macau Scam' yang berpusat di Dubai, ditahan polis Thailand selepas mereka menipu 1.93 juta Baht (RM248,000) daripada beberapa mangsa di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Pelancongan Thailand Men Jen Surachet Hakpan berkata empat lelaki rakyat Malaysia berumur antara 33 dan 28 tahun ditahan di Bangkok semalam dan dibawa ke balai polis Phahonyothin untuk disoal siasat.

"Mereka menganggotai sindiket 'Macau Scam' berpusat di Dubai yang mengambil warga asing bekerja dengan ditugaskan mengeluarkan wang daripada mangsa penipuan mereka di Thailand," katanya pada sidang media di sini semalam.

Pasukan polis yang membuat serbuan terhadap ke atas mereka semalam selepas mengumpul maklumat, turut merampas 10 kad Mesin Juruwang Automatik (ATM) dan lima telefon bimbit, katanya.

Suspek terbabit, menurut Surachet yang turut mengetuai pusat operasi penipuan elektronik Polis Thailand, mengeluarkan wang mangsa mereka di beberapa tempat di Bangkok selain di Nakhon Si Thammarat, di selatan Thailand.

Mereka melakukan jenayah itu antara 10 hingga 18 Mac, katanya dan menambah, suspek kerap berkunjung ke Thailand dan berada di sini kira-kira seminggu untuk mengeluarkan wang daripada mangsa mereka.

Kebanyakan mangsa mereka, kata Surachet, ditipu di kawasan Phahonyothin dan Bangkhane di Bangkok, dan daerah Sansai di Chiang Mai, utara Thailand.

Bagi tahun ini, sejumlah 427 waran tangkap dikeluarkan terhadap suspek 'Macau Scam', dan pihak berkuasa berjaya menahan 249 orang daripada mereka termasuk 67 warga asing yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal, katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com