#EkspoMuafakatKedah: Sambutan Hangat Tanda Rakyat Hargai Kerajaan Negeri


ALOR SETAR - Sambutan hangat orang ramai yang membanjiri Ekspo Muafakat Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darulaman di sini menjelaskan bahawa rakyat di negeri ini amat menghargai Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah.

Exco Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Ku Rahman Ku Ismail berkata, respon balas yang diterima daripada orang ramai yang hadir di ekspo berkenaan jelas membuktikan rakyat Kedah amat terbuka dalam menyatakan hasrat mereka

Malah beliau berkata bahawa kerajaan negeri dan kepimpinannya pula sentiasa bersikap positif dan sedia mendengar denyut nadi rakyat di negeri jelapang padi ini.

"Majoritinya menyebut mereka sayangkan negeri Kedah, sayangkan sultan kami, kami hendak Kedah lebih maju lagi dan seumpamanya.

"Kata-kata ini memberikan semangat dan kekuatan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah (Md Hanipah), bahawa apa yang kita lakukan selama ini amat dihargai oleh rakyat.

"Justeru itu insyaAllah, kita akan teruskan mempertingkat peranan kita sebagai Kerajaan Negeri untuk memajukan negeri Kedah, memberikan yang lebih terbaik untuk rakyat di negeri ini," katanya kepada Kedahnews.com, di sini, petang semalam.

Ku Rahman berkata, kehadiran puluhan ribu orang Kedah di ekspo yang julung-julung kali diadakan itu juga menunjukkan bahawa rakyat di negeri ini mahu mengetahui dengan lebih jelas perkembangan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri selama ini.

Kata beliau, ekspo ini merupakan platform informasi terbaik untuk rakyat Kedah mengetahui dengan lebih jelas mengetahui dengan lebih jelas tentang segala yang pernah dilaksana, sedang diusahakan dan hala tuju kerajaan negeri ke arah yang lebih baik.

"Rakyat negeri Kedah dahagakan ilmu pengetahuan, mereka ingin tahu tentang apa yang telah, sedang dan akan dilaksanakan Kerajaan Negeri pada masa yang akan datang.

Selain itu, beliau turut menyeru kepada semua 2.1 juta orang rakyat di negeri Kedah supaya mendoakan negeri ini agar sentiasa berada di dalam kesejahteraan, kemakmuran dan keberkatan Allah SWT. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com