#EkspoMuafakatKedah: Jangan Lupa Singgah Di Gerai Pameran UPUK, Pesan Kak Su

ALOR SETAR - Rakyat di negeri Kedah dipesan supaya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi ruangan Bizz yang merupakan salah satu kluster dalam pameran Ekspo Muafakat Kedah yang sedang hangat berlangsung di sini hingga 3 Mac ini.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, peluang ini perlu direbut oleh orang ramai yang hadir, khususnya mereka yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan yang terbukti mampu meningkatkan pendapatan lumayan di zaman ini.

"Jika sampai ke ruangan Bizz, mereka boleh singgah di Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK). Itulah pusat informasi yang paling berbaloi untuk kita tingkatkan pendapatan kita.

"UPUK ini kita tubuhkan khas untuk menyelaras pembangunan usahawan. Sudah berpuluh ribu usahawan yang kita lahirkan dan ternyata ia memberi pulangan lumayan bagi kebanyakan peserta yang komited berusaha.

"Bukan saja berjaya menjana pendapatan jutaan ringgit setahun, malah ada usahawan di bawah UPUK yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Jepun dan sebagainya," katanya Suraya yang lebih mesra dengan panggilan "Kak Su".


Menurut Kak Su, selain daripada menyediakan khidmat nasihat yang mendidik para usahawan, UPUK juga berperanan dalam mempergiat aktiviti keusahawanan, pembangunan kemahiran, akses pasaran yang lebih meluas.

Selain itu, agensi di bawah Kerajaan Negeri itu juga menyediakan bantuan kewangan seperti pinjaman mikro-kredit dan geran, serta memberikan informasi jaringan usahawan dan peluang-peluang memperluaskan perniagaan masing-masing.


"Sebagai contoh, Kedah Food Valley akan menjadi hub pengeluar makanan terbesar di rantau ini. Malah ia juga sangat berpotensi untuk menjadi hub makanan halal terbesar dunia.

"Orang Kedah memang terkenal suka menawarkan perniagaan berasaskan makanan. Jadi, kita boleh sama-sama memeriahkan Kedah Food Valley ini dengan produk-produk kita dan UPUK boleh membantu kita menjayakannya," jelas beliau kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Justeru itu, Kak Su menyeru kepada seluruh rakyat Kedah supaya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi gerai pameran UPUK yang menawarkan pelbagai peluang meningkatkan perniagaan melalui program-program dan bantuan keusahawanan yang disediakan.

"Rugi kalau tak singgah di UPUK," ujar Exco Kerajaan Negeri itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com