#EkspoMuafakatkedah: Bagaikan Rancangan Amazing Race


ALOR SETAR - Bagaikan peserta rancangan Amazing Race. Itulah gambaran yang boleh diberikan kepada aksi pengunjung Ekspo Muafakat Kedah (EMK) 2018 yang mencuba nasib untuk memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM1 juta yang ditawarkan kepada individu bertuah.

Hadiah utama berupa dua unit rumah, tiga kereta dan enam motosikal cukup untuk memberi motivasi besar kepada pengunjung yang hadir untuk mencuba nasib.

Pengunjung yang berhajat menyertai cabutan bertuah tersebut dikehendaki melengkapkan pengesahan atau cop daripada 19 stesen kluster dalam pasport EMK 2018 yang disediakan di pintu masuk ekspo.

Mereka dikehendaki berjalan dari setiap kluster yang disediakan bagi mengumpul cop-cop berkenaan dan sekali gus menjadikan ekspo itu sebagai seakan-akan medan ala perlumbaan mencari harta karun.

Bagi seorang suri rumah dari Alor Setar, Sharifah Intan Syed Ahmad, 58, berkata, dia sanggup berulang kali melawat EMK 2018 sejak hari pertama hanya untuk mengambil cop pasport berkenaan bagi merebut peluangnya untuk memenangi hadiah yang disediakan.

“Sudah empat hari berturut-turut datang ke ekspo ini, sekadar mahu mencuba nasib untuk mendapatkan pasport yang ada ini bagi memenangi hadiah yang disediakan.

“Saya sebenarnya tidaklah ada sasaran khusus untuk menang hadiah di sini tetapi jika ‘tersangkut’ satu hadiah saya sudah bersyukur.

“Apa yang seronok adalah usaha ini menjadi seperti misi mencari harta karun di mana kita akan menjelajah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mendapatkan cop,” katanya ketika ditemui di tapak ekspo di pekarangan Stadium Darul Aman.

Tambahnya, selain mendapatkan cop yang disediakan di setiap kluster yang ada, dia turut memperoleh pelbagai informasi berguna daripada setiap agensi yang menyertai ekspo berkenaan.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Alif Ahmad Sobri, 28, dari Pendang berkata, dia bersama isteri dan ibunya pada mulanya sekadar mahu meninjau apa yang dipamerkan di ekspo berkenaan.

“Saya melawat ke ekspo ini sekadar nak meninjau apa yang ada sebenarnya dan tidak sangka pula, berpeluang memenangi hadiah dengan melengkapkan cop dalam pasport yang diberikan oleh penganjur.

“Walaupun terpaksa berjalan ke merata tempat tetapi sekurang-kurangnya dengan cara ini, kami dapat menjelajah ke seluruh kluster yang ada bagi mendapatkan informasi yang ada menerusi agensi yang terbabit sebelum melengkapkan cop untuk pasport ini,” ujarnya.

Alif yang menghantar tiga penyertaan untuk dirinya, isteri serta ibunya dan berharap bakal memenangi antara daripada hadiah yang ditawarkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja EMK 2018 Isahak Murat berkata, sistem pasport yang diwujudkan dalam ekspo itu sekurang-kurangnya dapat memberikan keterujaan kepada orang ramai terutama pengunjung untuk meneroka dengan lebih mendalam setiap kluster yang disediakan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com