#EkspoMuafakatKedah: 10,000 Hadir Malam Kedah Berselawat


ALOR SETAR - Kira-kira 10,000 orang menghadiri program kerohanian 'Malam Kedah Berselawat' sempena Ekspo Muafakat Kedah di Medan Bandar Alor Setar, di sini, semalam.

Program itu turut menampilkan penceramah bebas, Datuk Ustaz Kazim Elias yang memberikan tazkirah bertajuk Muafakat Membawa Berkat selama 45 minit sebelum program selawat bermula pada 10.15 malam.

Kumpulan nasyid terkenal Rabbani dijemput bagi memimpin program selawat itu yang berakhir jam 11.30 malam.

Rata-rata pengunjung yang ditemui memberikan reaksi positif terhadap program tersebut.

Bagi Umi Raudhah Zaini, 22, program seperti ini sangat bagus bagi memberi kesedaran mengenai keindahan Islam.

"Islam merupakan agama yang sangat indah, dalam Islam dibenarkan untuk berhibur tetapi dengan cara yang betul, dan berselawat dan berzikir merupakan antara hiburan dalam Islam," kata mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS) ini.

Bagi Siti Aisyah Jamaluddin, 26, program itu sangat baik kerana mampu mengeratkan hubungan sesama Islam.

"Ribuan orang hadir pada malam ini (semalam) dan ia membuktikan ukhwah saudara sesama Islam kita sangat utuh. Saya bangga menjadi rakyat Kedah apabila melihat lautan manusia memenuhi dataran ini.

"Selain berselawat, berzikir dan berqasidah, kita juga mengisi rohani menerusi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Kazim," katanya yang berasal dari Kuala Ketil, Baling.


Sementara itu, Ketua Urusetia Program Malam Kedah Berselawat, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata program itu merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) bagi memberi pendedahan kepada masyarakat Islam tentang kehebatan berselawat, zikir dan berqasidah mengagungkan Rasulullah.

Jelasnya, dengan penganjuran program itu ia dapat mendekatkan diri kepada Allah disamping berhibur mengikut syariat Islam.

"Alhamdulillah, sambutan program ini sangat baik walaupun dilakukan di luar perkarangan Stadium Darul Aman. Saya rasa bangga kerana kebanyakan yang hadir adalah golongan belia,"katanya.

Yang turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta barisan EXCO dan pegawai kerajaan negeri.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com