Ekspo Muafakat Kedah Eratkan Hubungan Sesama Kaum - Pengunjung


ALOR SETAR - Penganjuran Ekspo Muafakat Kedah (EMK) yang berakhir pada Sabtu membuka mata rakyat Kedah bahawa kerajaan tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat negeri ini.

Setiap kluster di EMK mendekatkan semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama melihat perancangan dan kejayaan dilakukan kerajaan.

Menurut pekerja swasta, Abdul Muhaimin Kaharudin, 33, berkata, ekspo itu menjadi medium terbaik untuk rakyat menterjemah aspirasi, selain memberikan pandangan mengenai pembangunan negeri.

“Ekspo ini bersifat dua hala, di mana rakyat bukan dapat melihat usaha dijalankan kerajaan negeri dan boleh memberi pandangan terhadap sesuatu perkara.

“Jadi tidak timbul isu rakyat diketepikan dalam perancangan Kedah. Diharapkan ekspo ini diteruskan pada masa hadapan bagi menyemarakkan lagi semangat muafakat antara rakyat dan kerajaan,” katanya  memetik MyMetro.

Sementara itu, pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, R Khayalvili, 23, berkata, ekspo itu menyatupadukan semua kaum di Kedah di mana semua terlibat dalam penganjuran berkenaan.

“Ia bukan khusus untuk satu kaum saja tetapi semua. Melalui ruang pameran pelbagai kaum di Kluster Kedah Harmoni, ia mengeratkan semua pihak.

“Pendekatan ini membolehkan rakyat mengenali lebih dekat mengenai agama, budaya dan kepercayaan masing-masing,” ujarnya.


Malah, ekspo lapan hari yang berakhir hari Sabtu menampilkan pencapaian kerajaan negeri serta perancangan untuk semua rakyat Kedah.

Ia menampilkan 20 kluster merangkumi pelbagai sektor dengan penyertaan 199 jabatan dan agensi kerajaan membabitkan kerajaan pusat dan negeri, serta sektor swasta.

Antara kluster itu ialah Pameran Diraja, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah, Kedah Holistic, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah dan Petting Zoo. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com