Ekspo Muafakat Kedah Bakal Jadi Acara Dwitahunan


ALOR SETAR – Ekspo Muafakat Kedah yang baru sahaja berakhir menyaksikan kunjungan lebih daripada 600,000 orang pada edisi 2018 dan merupakan satu kejayaan bagi Kerajaan Negeri Kedah.

Demikian itu,  Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, besar kkemungkinan ia akan dijadikan acara dwitahunan sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat baharu yang lebih kukuh di Kedah dan di peringkat persekutuan.

Ekspo Muafakat Kedah 2018 yang berlangsung selama tujuh hari sejak 24 Feb lepas ternyata melepasi sasaran 400,000 pengunjung seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Dengan edisi berikutnya dianjurkan pada 2020. Syaratnya, kerajaan sedia ada yakni Barisan Nasional di negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan perlu diberikan mandat baharu yang lebih kukuh agar lebih banyak usaha menerus kemajuan dan menzahirkan impian boleh kita terjemahkan,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada majlis penutup ekspo itu di Stadium Darul Aman di sini semalam.

Majlis penutup itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib turut melancarkan Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2019-2035 pada majlis penutup itu.

Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ekspo Muafakat Kedah 2.0 di era 2020 akan ditambah nilai dengan dua pakej kluster iringan melibatkan penyertaan kesemua kementerian yang ada selain tumpuan penglibatan dari negara jiran yang terangkum dalam kerangka kerjasama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).

Ahmad Bashah berkata demikian dengan harapan Barisan Nasional dapat menggalas mandat yang kukuh seperti sedia ada ini.

Jelas terpancar di wajah orang-ramai yang tertarik untuk berkunjung ke ekspo ini bagi melihat sendiri pameran yang merakamkan pencapaian masa lepas, kini dan pemetaan masa depan negeri Kedah yang diterjemahkan menerusi 19 kluster pameran.

“Dari Chuping, Perlis hinggalah sejauh Melaka, kawan, rakan, sanak saudara, handai taulan menjadikan ekspo ini antara destinasi wajib persinggahan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata kejayaan penganjuran ekspo itu adalah hasil rangkuman kemampuan bersama diterjemah sebagai konsep muafakat yang diterapkan Kerajaan Negeri Kedah selama ini.

Sejumlah 119 agensi serta jabatan terlibat dalam penganjuran ekspo itu selain 15 acara utama dan 119 acara sampingan yang menjadi pengisian ekspo itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com