Eksklusif: Jasa Anak Kedah Di Bumi Baleh, Kapit...


DEMI merubah masa depan yang lebih cerah, Khalid nekad. Dia sanggup meredah dua hari perjalanan menyusuri Sungai Baleh yang terletak di Hulu Rajang. Dari rumahnya yang terletak jauh di pedalaman Kapit, dia melangkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baleh.

Tekadnya hanya mahu menimba seberapa banyak ilmu dari guru-gurunya. Di SMK Baleh yang mempunyai beberapa blok bangunan kecil, Khalid tinggal di asrama bersama rakan-rakannya yang turut berasal dari kampung yang jauh dari arus kemodenan.


SMK Baleh boleh dikatakan antara sekolah yang paling 'advance' di daerah Kapit. Sumber airnya dari "langit" dan sungai yang mengalir di depannya. Elektriknya pula bersumberkan set "generator" yang terhad bekalan petrol. Ertinya, tiada bekalan air bersih dan kemudahan letrik 24 jam di sekolah tersebut.


Bagi mereka yang pernah merasa tinggal di asrama, mereka mungkin akan terkejut besar melihat keadaan asrama yang didiami Khalid dan rakan-rakan. Beralaskan tilam nipis yang diletak di atas papan panjang, berhimpitlah mereka tidur. Almarinya pula "buatan sendiri".


Bukan mudah untuk ke SMK Baleh sebenarnya. Dari Sibu, kita perlu menaiki bot ekspres ke bandar Kapit yang memakan masa kira-kira 3 jam. Hanya jalan air dan udara sahaja yang menghubungkan Sibu dan Kapit. Tiada jalan raya yang sempurna, melainkan "jalan sawit" yang "menyiksakan".

Dari jeti Kapit, tidak ada bot ekspres lagi untuk ke Baleh selepas jam 3 petang. Ia adalah disebabkan oleh pendirian pengendali bot yang enggan menanggung risiko di Sungai Rajang - Baleh. Macam-macam ancaman boleh berlaku, termasuk bot karam dan "bujang senang".


Perjalanan dari jeti Kapit untuk ke SMK Baleh memakan masa kira-kira 4 jam, bergantung kepada keadaan air sungai. Sesekali membelah ombak kecil yang terhasil dari tongkang yang mudik ke hilir, ia sudah cukup untuk membuat kita terhoyong-hayang di dalam bot kecil. Sukarnya untuk ke Baleh, hanya mereka yang pernah ke sana saja yang tahu.

Tiada kemudahan internet yang stabil di SMK Baleh. Meskipun mendapat sumbangan CSR daripada sebuah syarikat swasta yang bermurah hati, namun apa gunanya jika komputer tidak dapat dinyalakan ekoran tiada bekalan elektrik?

Tingkapnya ada yang senget, namun bersih. Tandasnya kecil, tapi cukup bersih. Kantinnya juga kecil, tapi cukup terjaga rapi. Kawasannya luas, tapi amat sukar untuk dilihat sampah di kaki lima. Tenang, aman dan menyegarkan, itulah SMK Baleh.


Berada di Kapit untuk beberapa hari membuat penulis terkenangkan bumi Semenanjung dan pelajarnya yang jauh lebih bertuah berbanding di SMK Baleh. Kita lengkap semuanya. Bukan saja keperluan asas seperti air dan letrik, internet pun disediakan percuma.

Asrama sekolah di Semenanjung juga jauh lebih sempurna. Ada katil dua tingkat, tilam yang selesa dan bantal yang empuk. Dewan makan, dewan sekolah, makmal sains, makmal komputer, perpustakaan, tandas dan sebagainya, segalanya lengkap.


Namun ramai pelajar di Semenanjung yang ponteng. Tandas dan dinding sekolah diconteng. Tingkap dan pintu sengaja dipecahkan bagai satu perkara biasa. Jika lalu di depan tandas, boleh buat kepala kita "pening lalat" terbau dek "haruman"nya, bukan?

Melihat Khalid dan rakan-rakannya yang berbudi bahasa terhadap guru-guru mereka membuat penulis terdetik di hati mengatakan anak-anak Baleh ini belum "tercemar" lagi dengan "noda-noda" budaya buruk sikap pelajar di bandar-bandar besar. Mereka "bersih".

Bila ada tamu yang hadir, mereka jadi amat pemalu namun begitu kaya dengan senyuman. Mereka amat menghormati tetamu. Jika ditanya sesuatu, suara mereka begitu lembut dan sopan memberi jawapan yang pekat dengan dialek tempatan.


Dalam kepayahan hidup, mereka berpisah dengan keluarga. Berkorban demi masa depan, mencabar diri untuk mengubah nasib diri. Tidak hairanlah jika anak-anak Baleh begitu bersemangat menimba ilmu.

Namun kehadiran seorang anak kampung yang berasal dari pedalaman Kedah, telah memberi nafas baru buat mereka. Anak kelahiran Padang Kerasak di Padang Terap yang turun padang meninjau SMK Baleh baru-baru ini membuat mereka tersenyum gembira.

Selaku bekas guru di Beluran yang terletak di pedalaman Sabah, beliau begitu memahami tentang keperluan di SMK Baleh. Tidak lama lagi sekolah itu akan bertukar wajah dan lebih sempurna. Tersenyum puas warga pendidikan di pedalaman Kapit itu dibuatnya.


Beliau mengambil berat setelah 32 tahun tiada siapa yang peduli. Bukan nama atau sanjungan yang dicari, namun beliau beberapa kali berpesan kepada anak-anak Baleh supaya lebih tekun menimba ilmu. 

Beliau yakin, hanya ilmu dan pendidikan sahaja yang mampu merubah masa depan yang lebih baik. Itulah yang sering beliau tekankan setiap kali berkunjung ke sekolah-sekolah pedalaman di seluruh negara. Menggalas amanah dan tanggungjawab,

Dia adalah Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com