'Dulu Calit, Kini Celup' - SPR


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menelan pelbagai tohmahan dan fitnah pihak tidak bertanggungjawab , walaupun semua sistem kendalian badan itu dilaksanakan secara telus menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, menegaskan pendaftaran pemilih, perjalanan dan persempadanan semula bahagian pilihan raya dilaksanakan secara telus dan adil, tanpa mengambil kira kepentingan mana-mana parti politik.

Beliau berkata, dakwaan pihak tertentu kononnya berlaku manipulasi terhadap sistem dan terbaru membabitkan persempadanan semula bahagian pilihan raya adalah tohmahan tidak berasas dan berniat untuk mengelirukan.

"SPR sudah melaksanakan pelbagai cara untuk memastikan sistem pilihan raya negara ini telus. Jika dulu dakwat hanya dicalit, kini kita menggunakan proses celup

"Jika dulu tiada karavan, kini SPR sudah mempunyai beberapa kenderaan itu untuk memudahkan pengundi berdaftar selain menyemak status mereka. Kenderaan itu boleh masuk ke kampung dan kita ubah suai kenderaan itu supaya petugas SPR boleh tidur dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Interaksi Bersama Pengerusi SPR di Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di sini, pada Selasa.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dan Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Mohd Hashim berkata, tohmahan dan fitnah itu bukan sahaja dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab, malah dilakukan individu yang pernah bersama badan itu yang mendakwa SPR tidak telus dan melakukan penipuan ketika menguruskan perjalanan pilihan raya.

"Saya pelik individu yang membuat dakwaan itu pernah berada dalam SPR dan melalui beberapa pilihan raya sebelum ini, berbanding inilah kali pertama saya menguruskan pilihan raya sejak memegang jawatan sebagai Pengerusi SPR.

"Bukan itu saja tohmahan yang SPR terpaksa lalui, dulu ada dakwaan mengenai pengundi hantu; 40,000 rakyat Bangladesh mengundi, ini semua karut dan sehingga kini mana laporan dibuat berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata, segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap badan itu tidak berasas dan bertujuan melemahkan semangat anggota dan pegawainya.

"Kenapa perlu memanggil SPR penipu? SPR hanya mempunyai 800 kakitangan, bukan 250,000 orang. Mereka yang bertugas untuk SPR di lapangan ketika pilihan raya adalah sukarelawan yang terdiri daripada rakyat biasa. Adakah anda menuduh rakyat biasa ini yang menipu?

"Saya sendiri tiada kepentingan dalam mana-mana parti politik dan seumur hidup tidak pernah berdaftar dengan mana-mana parti politik. Arwah ibu saya tentu bersedih dalam kuburnya jika mengetahui ada pihak tertentu yang menuduh saya sebagai penipu," katanya.

Mengulas tohmahan kononnya persempadanan semula bahagian pilihan raya dibuat untuk membantu kemenangan parti pemerintah, Mohd Hashim berkata, pihak berkenaan hanya melihat kesan persempadanan semula yang dijalankan itu dalam konteks kepentingan politik kepartian mereka semata-mata.

"SPR tidak pernah mengambil kira kepentingan politik mana-mana parti kerana kami melihat tujuan dan kesan persempadanan semula itu dalam perspektif yang lebih utama, iaitu untuk kepentingan keseluruhan pengundi dan wakil rakyat di setiap bahagian pilihan raya yang terbabit.

"Ini disebabkan ada kawasan memerlukan persempadanan semula. Ada kawasan luar bandar sudah bertukar menjadi pinggir bandar dan pinggir bandar sudah menjadi bandar. Ini antara faktor diambil kira SPR. Saya sekali lagi ingin menegaskan SPR hanya mengesyorkan persempadanan semula dan keputusannya tetap diputuskan Dewan Rakyat," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com