Dua Beradik Nyaris 'Ditelan' Tanah Jerlus Di Kulim


ALOR SETAR - Dua beradik berhadapan detik cemas selepas motosikal Honda EX5 yang dinaiki mereka termasuk ke dalam lubang sedalam lebih 2.5 meter di Jalan Serindit, Taman Tunku Putra, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 6.10 pagi itu, Arvin bersama adik lelakinya, A Vashitan, 18, sempat menyelamatkan diri daripada tenggelam ke dalam lubang yang dikatakan terbentuk akibat paip air pecah di laluan berkenaan.

 “Nasib baik saya tidak panik dan sempat menolak adik daripada tenggelam dalam tanah jerlus itu.

“Saya kemudian memijak motosikal yang sebahagiannya termasuk ke dalam tanah untuk menyelamatkan diri,” kata A Arvin, 23, mangsa kejadian tanah jerlus di Jalan Serindit, Taman Tunku Putra di sini, semalam.

Mengulas kejadian yang menimpa mereka, Vashistan berkata, dia dalam perjalanan menghantar Vashistan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chio Min, di sini.

Katanya, sebelum tiba di lokasi, dia melihat sebuah bas kilang terkandas di tengah jalan dengan tayar hadapan sebelah kanan kenderaan itu tenggelam di dalam lubang dipenuhi air.

“Saya sangka mungkin tayar bas itu hanya masuk lubang kecil saja. Saya nampak dua lelaki di bahu jalan memeriksa keadaan bas itu.

“Saya ambil keputusan melalui bahagian sebelah kanan bas, namun tiba-tiba motosikal kami pula termasuk dalam lubang besar,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Jelas Arvin, sebelum tenggelam, dia sempat menolak adiknya untuk berpaut pada tebing tanah manakala dia cuba memanjat motosikalnya untuk naik.

“Dalam beberapa saat saja saya tenggelam dan air cecah paras leher. Saya memijak motosikal dan melonjakkan badan ke permukaan air sebelum diselamatkan dua lelaki yang saya lihat sebelum itu,” katanya memetik MyMetro.

Sementara itu, pemandu bas kilang berkenaan yang mahu dikenali sebagai Magen, 39, berkata, ketika kejadian, bas yang membawa 12 pekerja dalam perjalanan ke sebuah kilang di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Memang nampak air penuh atas jalan, tapi saya tak sangka pula ada lubang besar di laluan itu kerana kali terakhir saya lalu jalan itu pada 8.30 malam (kelmarin), ia masih elok,” ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com