Doa Hishammuddin Ada Jawapan MH370


KLUANG - "Saya doakan misi pencarian MH370 yang dikendalikan Ocean Infinity berjalan lancar kerana kita semua ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi," kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menteri Pertahanan berkata seperti semua rakyat Malaysia yang lain terutama waris dan keluarga terbabit, tragedi MH370 meninggalkan kesan serta kesan mendalam terhadap dirinya.

Hishamuddin yang memangku jawatan Menteri Pengangkutan ketika pesawat itu hilang, juga berharap semua keluarga mangsa yang terbabit, terus tabah dan bersabar.

"Tragedi MH370 memang amat dekat di hati saya. Saya selalu berdoa supaya ada pengakhiran yang boleh disimpulkan supaya waris dan keluarga mendapat jawapan yang sebenar.

"Saya masih ingat lagi ketika mengendalikan kehilangan pesawat itu sewaktu memangku jawatan Menteri Pengangkutan, saya meletakkan kedudukan keluarga penumpang MH370 sebagai keutamaan.

"Kalau saya berada dalam keadaan keluarga, sudah pasti saya juga akan tertanya-tanya sama ada siasatan atau misi pencarian akan mendapat hasil sekali gus memberi kelegaan dan penutup terhadap semua penderitaan yang ditanggung," katanya selepas merasmikan Karnival Orang FELDA Sembrong Kita di FELDA Ulu Penggeli, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pengalamannya menyelaras misi pencarian MH370 selepas tragedi berkenaan berlaku.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Pesawat Boeing 777 penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada tengah malamnya.

Januari lalu, Syarikat eksplorasi persendirian, Ocean Infinity memulakan misi mencari MH370 dan menyasar untuk menemui bangkai pesawat itu dalam tempoh Jun atau Julai tahun ini.

Misi pencarian baharu itu berbekalkan peralatan analisis oceanografi dan kapal pencarian berteknologi tinggi, yang mana pencarian bermula di kawasan terpencil di Lautan Hindi dengan harapan untuk menyelesaikan misteri dianggap paling hebat dalam industri penerbangan.

Sebelum ini, misi pencarian diterajui Australia sudah memeriksa kawasan seluas 120,000 kilometer persegi jauh di pesisir barat benua itu selama 28 bulan, namun tiada kesan pesawat terbabit ditemui dan misi dihentikan pada Januari tahun lalu.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, tragedi MH370 adalah insiden yang tidak akan mampu dilupakan atau luput dalam ingatannya.

"Bayangkan kita mahu mencarI jawapan terhadap benda yang tidak ada jawapannya.

"Namun, kita juga perlu berterima kasih kepada kerajaan luar yang sedia bekerjasama dengan Malaysia dalam misi pencarian bangkai pesawat berkenaan.

"Ini antara kelebihan kita, iaitu kita memiliki ramai kawan yang mempunyai teknologi berkaitan dan sedia memberi kerjasama.

"Secara tidak langsung ini merupakan pengiktirafan mereka (negara asing) kepada kita," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com