Ditembak Mati Ketika Sedang 'Live Facebook'


RALEIGH - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki di North Carolina ditembak mati ketika dia sedang menggunakan Facebook Live, baru-baru ini.

Prentis Robinson, 55, dikatakan baharu meninggalkan balai polis selepas membuat aduan tentang kecurian salah satu telefon bimbit miliknya.

Ketika kejadian, mangsa bercakap dengan seorang lelaki, "Anda sedang bersiaran langsung," sebelum empat das tembakan dilepaskan.

Susulan insiden itu, seorang lelaki dikenali sebagai Douglas Colson telah diberkas.

Menerusi Facebook Live tersebut, lelaki bersenjata itu dilihat meninggalkan lokasi kejadian dalam keadaan tergesa-gesa.

Jabatan Polis Wingate memaklumkan Colson telah dipanggil untuk membantu siasatan, namun dia tidak ditahan pada masa tersebut.

Lelaki tersebut bagaimanapun tampil menyerah diri selepas polis mengeluarkan waran tangkap.

Insiden itu berlaku pada jam 10 pagi (waktu tempatan) hingga menyebabkan kawasan berhampiran Universiti Wingate terletak kira-kira 48 kilometer tenggara Charlotte, North Carolina diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Menurut polis, Robinson sering menggunakan Facebook Live untuk mendedahkan masalah di kawasan kejiranannya.

Di dalam video terakhirnya, mangsa dilihat mengadu tentang salah satu telefon bimbitnya yang didakwa dicuri. - BBC

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com