Dilarikan Kawan Sendiri Kerana Berang Dikritik Dalam Media Sosial


KUALA TERENGGANU - "Kami dah berkawan lama, tak sangka dia sanggup buat macam ini," kata remaja yang mengalami trauma selepas diculik rakan sendiri di Jalan Kamaruddin di sini, Isnin.

Remaja itu yang ingin dikenali Lin, 19, berkata dia yang ditinggalkan bersendirian di tepi jalan di Marang, lebih 20 kilometer dari tempat kejadian, terpaksa menapak lebih sejam sebelum terjumpa seorang pengawal keselamatan di Bukit Kor, Marang.

"Saya ditinggalkan di tempat tiada orang, gelap dan di tepi semak. Mujur tiada apa-apa yang berlaku kepada saya.

"Bagaimanapun, sampai sekarang saya masih menggigil dan trauma bila teringat diperlakukan begitu," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Wakaf Che Kapor di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, remaja berkenaan dan dua rakan serta seorang lagi kenalan mengunjungi Ekspo Terengganu 2018 sebelum ke Pantai Batu Buruk di sini.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, kereta mereka naiki dihadang sebuah pacuan empat roda. Dua perempuan yang memakai penutup muka, keluar dari kereta itu dan menarik Lin masuk ke dalam kenderaan berkenaan.

Dia diikat kaki dan tangan sebelum dilarikan sejauh kira-kira 20 kilometer dan ditinggalkan di Marang.

Suspek wanita berusia 26 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana berang akibat dikecam di media sosial, dipercayai ditulis oleh remaja terbabit.

Lin berkata, dia dan rakannya itu mengenali satu sama lain lebih setahun lalu di laman sosial.

"Malah, dia selalu datang ambil saya di rumah untuk keluar berjalan-jalan. Pendek kata, kami sangat akrab seperti adik-beradik," katanya.

Ditanya punca perbalahan mereka, Lin mendakwa ia disebabkan satu laporan polis yang dibuat kakaknya kerana suspek membuat fitnah terhadap keluarganya.

"Bila kakak buat laporan polis kira-kira dua minggu lalu, dia tak puas hati tapi saya tak sangka dia bertindak menculik saya dan sanggup menyewa kereta semata-mata ingin melakukan jenayah itu," katanya.

Berikutan laporan mangsa, polis menahan wanita terbabit yang berusia 26 dan enam rakannya bagi membantu siasatan.

Ketujuh-tujuh suspek yang berusia antara 18 hingga 26 tahun direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com