Digelar 'Tauke Gila' Kerana Teh Tarik Dua Kupang


HANYA kerana menjual minuman teh tarik pada harga 20 sen segelas, seorang peniaga digelar ‘tauke gila’ oleh rakan-rakan dan pelanggan tetapnya.

Tetapi, Ahmad Thalhaah Ahmad Sabri, 36, menganggapnya sebagai gurauan dan cabaran dalam melaksanakan hasratnya itu.

“Ramai yang terkejut apabila saya mula-mula memperkenalkan harga (20 sen) ini awal tahun lalu sehinggakan ada yang mengelar saya, tauke gila.

“Sebenarnya harga istimewa ini adalah hadiah kepada pelanggan setia yang banyak menyokong perniagaan saya selama ini,” katanya ketika ditemui di premis Gerai Pak Usop di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.

Ramai yang tidak mempercayai harga berkenaan kerana rata-rata minuman teh tarik dijual pada harga lebih RM1 dan boleh mencecah RM2 segelas di sesetengah tempat.

Ahmad Thalhaah berkata, walaupun berharga 20 sen segelas, dia tidak berkompromi dalam soal kualiti, malah setanding dengan teh tarik di kedai lain serta tidak menggunakan gula sebagai pemanis tambahan.

Teh tarik 20 sen ini ditawarkan setiap hari dari 6 pagi hingga 9 pagi dan selepas itu harganya kembali ke RM1.

“Sememangnya pada waktu (pagi) ini, gerai ini menjadi tumpuan terutama kakitangan awam kerana berhampiran Kompleks Penyiaran Kedah dan penduduk setempat sehingga hampir 300 gelas teh tarik berjaya dijual sehari.

“Malah, pada setiap Rabu, kita membenarkan pelanggan membeli teh tarik pada harga (20 sen) ini untuk dibawa pulang dengan bekas sendiri,” katanya.

Katanya, pada mulanya dia bercadang membuat promosi itu sehingga penghujung bulan ini sahaja.

“Tetapi atas permintaan pelanggan, harga (20 sen) ini dilanjutkan dan kita teruskanlah sehingga hujung tahun," kata bapa kepada dua orang anak ini.

Sementara itu, pelanggan tetap Nasrun Abdul Halim, 34, berkata dia akan singgah di gerai berkenaan setiap pagi selepas menghantar anaknya ke sekolah.

“Selain harga minuman dan makanan yang murah, layanan petugasnya ramah,” kata pemandu pelancong itu.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com