Dibunuh Rakan Kerana Bunyi Cawan


Singapura: Seorang tukang cuci warga emas dipenjara empat tahun kerana menyebabkan kematian rakan serumahnya dengan mengelar leher mangsa susulan pertengkaran ketika mencuci cawan bertukar ganas, lapor media tempatan.

Tan Kim Hock, 72, mengaku menyerang jurukimpal, Fan Fook Heng, 62, menggunakan pisau di rumah pangsa mereka pada satu malam pada Jun 2016 menyebabkan mangsa maut ketika mendapat rawatan, beberapa hari kemudian.

Straits Times memetik Hakim Mahkamah Tinggi Chan Seng Onn berkata, dia mendapati wujud provokasi dalam kes itu apabila dua rakan serumah yang berkongsi kediaman sejak empat tahun lalu hilang sabar sesama mereka.

Menurut laporan, Kim Hock penghuni tunggal rumah itu selepas kematian ibunya pada 1991 tetapi mengambil Fook Heng sebagai rakan serumah kerana diwajibkan mengikut peraturan Lembaga Perumahan.

Pada mulanya hubungan mereka baik tetapi semakin hambar disebabkan tabiat Kim Hock merokok dalam rumah itu sehingga mereka kerap bertumbuk.

The New Paper melaporkan, pada malam kejadian, Fook Heng berang dengan cara bising Kim Hock mencuci cawan lalu menyerangnya menyebabkan pertengkaran tercetus termasuk mengancam membelasah Kim Hock.

Kim Hock hilang sabar mencapai pisau dan mengelar Fook Heng menyebabkan mangsa tersungkur. Dia kemudian menghubungi polis.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com