Derita 6 Beradik Dari Sungai Petani Tiada Taraf Warganegara


ALOR SETAR - Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya tiga beradik ini di saat mereka terpandang rakan-rakan mereka di Sekolah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani.

Mata mereka yang bercahaya menceritakan betapa Nurul Solehah Abdullah, 9, dua abangnya Mohamad Kabir, 10, dan Mohd Haikal Alif, 11, merindui rakan-rakan sekolah mereka sejak berpisah lebih setahun yang lalu.

Dalam pertemuan singkat itu, soalan pertama ditanya rakan-rakan adalah ke mana menghilang dan mengapa bertukar sekolah.

"La kenapa hangpa (kamu) tukar sekolah, kami suka kat hangpa tau da? Hangpa ni baik.

"Selama ni kalau saya ada, depa main kat padang, lepas tu saya dah tak dak kat sekolah, depa tak main dah kat padang semua.. depa cakap boring (bosan) tak dak saya," itu reaksi Nurul Solehah apabila ditanya apa yang dibincangkan dengan dua bekas rakan sekelasnya dalam pertemuan itu.

Menurutnya Nurul Solehah, dia memaklumkan kepada dua rakannya itu sudah bertukar ke sekolah baharu. Bagi abang-abangnya pula, mereka juga tidak sabar untuk kembali bersekolah selepas kerana merindukan pelajaran dan rakan-rakan.

"Saya harap nak cepat masuk bersekolah supaya dapat belajar dan jumpa kawan-kawan," kata Mohd Haikal.

Dalam hati kecil anak-anak ini, perkara yang paling membahagiakan adalah kembali bersekolah dan bermain dengan rakan-rakan sebaya - naluri yang biasa bagi semua kanak-kanak pada umur mereka.

Mememtik BH Online, bagaimanapun, tiga beradik ini sukar memahami kenapa mereka belum dapat bersekolah selepas tamat sesi persekolahan di SK Sungai Layar pada penghujung tahun 2016 yang lalu.

Hakikat yang menyedihkan, mereka tidak dapat diterima di sekolah baharu berdekatan dengan rumah ayah saudara di Lagenda Height, di sini, kerana tiga beradik ini dan tiga lagi abang mereka Mohamad Shukri Abdullah, 17, Mohamad Shafiq, 15, Mohamad Anwar, 14, bukan warganegara Malaysia.

Penderitaan enam beradik ini bermula apabila ayah kandung mereka yang juga rakyat negara ini, bernikah dengan wanita Indonesia di selatan Thai hampir dua dekad lalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com