Denda 10 Pasukan Lewat Daftar Pemain Dikurangkan


KUALA LUMPUR - Sepuluh pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang dikenakan hukuman denda keseluruhan mencecah RM9 juta oleh Malaysia Football League (MFL) kerana lewat dan gagal melengkapkan pendaftaran pasukan musim 2018 kini boleh menarik nafas lega apabila jumlah itu dikurangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam (gambar) berkata jumlah denda itu dikurangkan selepas 10 pasukan terbabit terdiri daripada empat pasukan Liga Super dan enam pasukan Liga Premier membuat rayuan pengurangan hukuman dalam tempoh 14 hari selepas pemakluman hukuman dibuat.

Bagi denda pasukan Liga Super, hukuman dikurangkan daripada RM1.5 juta kepada RM500,000 sementara hukuman denda pasukan Liga Premier dikurangkan daripada RM500,000 kepada RM200,000, katanya.

“Hukuman tersebut diringankan kali ini dengan memberi peluang kepada pasukan untuk membuat perubahan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Tetapi perlu ditegaskan, hukuman lebih berat melebihi RM1 juta akan dilaksanakan jika masih berlaku perkara yang sama berulang lagi pada masa hadapan.” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Empat pasukan Liga Super yang dikenakan hukuman itu adalah Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan PKNS FC manakala enam pasukan Liga Premier terdiri dari Pulau Pinang, Sarawak, Kuantan FA, UKM FC, PDRM dan Mifa.

Kevin berkata hukuman tersebut dikurangkan selepas mendapat nasihat daripada Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan hukuman bagi sekatan perpindahan bagi pasukan yang gagal melengkapkan dokumen dan hukuman tertangguh pemotongan mata dikekalkan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com