Datin Dera Amah Dihukum Penjara Lapan Tahun


SHAH ALAM - Perintah berkelakuan baik terhadap suri rumah yang menyebabkan kecederaan pembantu rumahnya ditukar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada lapan tahun penjara, hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah terhadap Datin Rozita Mohamad Ali selepas membenarkan semakan kehakiman yang dibuat pihak pendakwaan.

Rozita juga terpaksa meringkuk di penjara bermula hari ini, selepas mahkamah menolak penangguhan perlaksanaan hukuman.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya memerintahkan Rozita menjalani bon berkelakuan baik selama lima tahun, selain membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Pada prosiding perbicaraan 18 Mac lalu, Rozita mengaku menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti, 19, dengan menggunakan sebilah pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing dan penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata menyerang mangsa.

Rozita melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, antara jam 7 pagi dan 12 tengah hari pada 21 Jun 2016.

Pada 21 Disember 2016, Suyanti ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan.

Sebelum ini, satu petisyen telah ditandatangani lebih daripada 41,000 individu selepas sehari dilancarkan di laman web Change.org.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com