Darussaadah Dominasi Pingpong Zon Utara


ALOR SETAR - Sekolah Menengah Agama Darussaadah (SMAD) masih lagi terus menguasai dan merebut gelaran juara acara pingpong lelaki Majlis Sukan Sekolah Agama Kedah (Massak) Peringkat Zon Utara 2018 sekali gus menguasai zon tersebut ke peringkat negeri pada April depan.

25 buah sekolah agama sekitar kawasan Kedah utara melibatkan diri dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Taufikiah, Padang Lumat, dekat Yan.

Ketahanan mental pemain dari SMAD yang beraksi selaku juara bertahan keseluruhan berjaya menundukkan tentangan hebat dan menangani tekanan sehingga ke final.

SMAD berjaya mengekalkan penguasaan bagi acara perseorangan lelaki bagi tahun keenam berturut-turut sejak 2013 apabila Muhammad Najhan Mohd Sabri muncul johan mengalahkan Ahmad Irfan Sharuddin juga dari sekolah sama dengan keputusan 3-2.

Muhammad Ikhwan Salim yang berpasangan dengan Muhammad Syakir Mustafa pula mengungguli acara beregu setelah mengalahkan Muhammad Helman Shahid dan Muhammad Ammar Mohd Noor di peringkat final dengan keputusan 3-1.

Ketua jurulatih pasukan tersebut, Mardzuq Idris berkata, kejayaan berganda ini manis buat sebuah sekolah agama seperti SMAD kerana telah mempamerkan kecemerlangan dalam sukan yang selama ini didominasi pemain bukan Melayu.

“Kemenangan ini adalah daripada kesungguhan pemain-pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun diuji pelbagai dugaan dan cabaran.

“12 pelajar SMAD akan mewakili zon utara untuk meneruskan perjuangan bagi mendapatkan tempat mewakili Kedah ke peringkat kebangsaan berhadapan dengan wakil dari Zon Selatan dan Zon Maktab Mahmud di Kulim,” katanya.

Menurutnya, Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Malaysia (Kessuma) 2018 pula akan diadakan di Perak pada Julai nanti.

Mardzuq berkata, penganjuran kejohanan tersebut bertujuan meningkatkan pencapaian dan perkembangan pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) selaras matlamat pendidikan negara yang memerlukan pelajar cemerlang dalam pelajaran dan sukan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com