Dadah RM110,000 Dirampas Di Bedong Kedah


ALOR SETAR - Dadah seberat lebih empat kilogram heroin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM110,000 ditemui dekat Bedong, Kedah hasil penahanan dua beranak kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah pada 11.15 pagi Selasa lalu menemukan 5.5 gram heroin pada rampasan pertama yang diisi dalam tiga paket plastik kecil.

“Rampasan seterusnya iaitu 3.1 kilogram heroin ditemui dalam tujuh paket plastik besar disembunyikan dalam beg hitam.

“Seterusnya, polis menemui dadah jenis syabu seberat 1.015 kilogram dalam tiga paket plastik disembunyikan dalam sebuah kotak speker hitam,” katanya kepada media.

Difahamkan, seorang lelaki berusia 39 tahun bersama ibunya berusia 69 tahun ditahan bersama ketika serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

“Rampasan pertama ditemui bersama suspek, namun selepas disiasat, kami menemui dadah lain disembunyikan dalam kotak speker dan beg hitam dalam sebuah rumah kosong yang terletak bersebelahan rumah mereka.

“Polis turut merampas dua motosikal jenama Honda EX5 dan Wave Dash anggaran bernilai RM9,000,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal mendapati suspek positif dadah jenis Opiate dan mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya(ADB) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Sementara itu, hasil ujian air kencing ke atas warga emas yang merupakan ibu kepada lelaki terbabit didapati negatif serta tiada rekod lampau.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com