Cuba Rekrut Militan Guna Media Sosial? Anda Dipantau PDRM!


KUALA LUMPUR - Sejumlah 240 individu yang menyebarkan fahaman militan dengan tujuan merekrut anggota baharu dan mengutip dana telah ditahan polis.

Malah, kerajaan juga sedang memantau sejumlah 3,871 akaun Facebook selain 800 akaun telah pun disekat bagi mengekang penularan fahaman militan di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat berkata ia turut melibatkan beberapa platform media sosial lain termasuk Twitter dan Instagram.

"Berdasarkan penggunaan Twitter untuk merekrut anggota baharu militan, kita memantau 76 individu, lapan ditangkap dan menyekat sembilan akaun.

"Penggunaan Instagram pula, 72 individu dipantau, manakala yang ditangkap hanya seorang," katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna dunia siber yang terdedah dengan risiko penyebaran fahaman militan.

Sementara itu, beliau memaklumkan 18 rakyat tempatan dan seorang warga asing yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) masih menjalani program deradikalisasi.

Jelasnya, modul program itu sedang ditingkatkan keberkesanannya terutama dalam membolehkan tahanan kembali untuk hidup semula dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com