“Coach Ramon OK, Cuma Ada Pemain Kami 'Tak Mau Dah'...” - Penyokong Kedah


ALOR SETAR - Keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menukar posisi Ketua Juruatih Ramon Marcote mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong setia Lang Merah.

Malah, Marcote diberikan peranan baharu memegang jawatan Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA berkuat-kuasa serta merta selepas mengambil kira prestasi pasukan yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Perkara itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati ramai penyokong Kedah yang menggambarkan kemerosotan pasukan bukan disebabkan Marcote, sebaliknya disebabkan faktor pemain.

Menurut Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Fazli Mansor berkata pasukan sepatutnya mencari penyerang baharu.


"Penyerang yang ada sekarang (Pablo Pallares) terlalu tumpul. Banyak kali dah bagi peluang, kami tak 'mau' dah.

"Pemilihan penyerang inilah yang menyebabkan pasukan kalah. Coach Ramon OK," ujarnya ketika dihubungi mStar online, Khamis.

Kata Fazli, dia tidak menyalahkan KFA berhubung keputusan yang dibuat terhadap Marcote.

"Mungkin KFA mahu bagi pengajaran kepadanya. Lepas ni coach Mohd Nidzam Adzha mengambil alih dan berharap semuanya akan lancar.

"Cuma kami harap apabila jendela perpindahan pemain nanti dibuka, mereka dapat mencari penyerang baharu.

"Penyerang tempatan ada yang hebat, seperti Zafuan Azeman tetapi dia kini dalam proses pemulihan. Dan boleh gunakan pemain muda, Akhyar Rashid sebagai 'back up," jelasnya.

Sementara itu, netizen di Facebook turut mempertikaikan tindakan KFA itu sebagai terlalu cepat menjatuh hukum.

Lewat Rabu malam, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus mengumumkan bahawa Marcote ditukar ke bahagian lain dan tugasnya itu akan diambil alih oleh Penolong Jurulatih Mohd Nidzam Adzha. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com