Cheng Hoe Perlu Terus Berani Guna Pemain Muda


KUALA LUMPUR - Jika aksi bertemu Lubnan dianggap sebagai uji bakat untuk melihat kemampuan pemain generasi baharu, maka kelompok itu sudah membuktikan mereka bersedia untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

Justeru Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa mengharapkan supaya generasi baharu yang rata-ratanya pemain muda supaya terus diberi peluang untuk beraksi sekali gus mematangkan corak permainan mereka.

Malah polisi 70-30 membabitkan 70 peratus pemain muda dan 30 peratus pemain berpengalaman seperti yang dicadangkan olehnya sebelum ini nyata mampu membuahkan hasil sekiranya ia 'diadun' dengan baik menerusi pemilihan pemain yang tepat.

"Boleh dikatakan Tan Cheng Hoe membuat eksperimen pada aksi menentang Lubnan dan walaupun tewas, kita dapat menyaksikan beberapa perubahan yang ditunjukkan pemain berbanding beberapa perlawanan sebelum ini.

"Oleh itu, mereka tidak boleh berhenti setakat di sini dan mereka seharusnya terus diberi kepercayaan untuk beraksi. Semangat mereka yang berkobar-kobar akan membuatkan mereka memberikan yang terbaik demi pasukan negara.

"Pujian juga harus diberikan kepada Cheng Hoe dengan eksperimen 'berani' ini. Meskipun tidak menggunakan pemain terbaiknya namun beliau tahu untuk bekerja dengan sumber yang dimiliki. Ia dibuktikan menerusi persembahan yang ditunjukkan pemain di tengah padang.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan situasi sebegini. Pada pandangan saya, Cheng Hoe perlu berani meneruskan polisi 70-30 dengan membawa masuk lebih ramai pemain beraksi di peringkat lebih tinggi supaya mereka sentiasa bersedia untuk bersama skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, pada aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut malam tadi, Malaysia yang dibarisi 'skuad kedua' nyaris menyentap ego pendahulu Kumpulan B, Lubnan sebelum tewas 1-2 menerusi jaringan minit akhir perlawanan.

Meskipun tewas, namun anak buah Cheng Hoe boleh mendabik dada kerana memperagakan corak permainan menyerang yang rancak dan kerap mencemaskan pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan serangan.

Malah benteng pertahanan negara yang dibarisi pemain kurang berpengalaman juga wajar dipuji kerana sering mengekang asakan jentera serangan Lubnan yang dilihat bergelut untuk memecah masuk ke dalam kawasan penalti.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com