Cari Ruang Dalami Ilmu Agama


JITRA - Dalam menghadapi alaf baharu yang serba mencabar, wanita Islam dinasihati agar berpegang teguh pada ajaran Islam.

Pendakwah bebas, Lokeman Hazli Azali berkata, walaupun seseorang itu hebat, berharta, dan terkenal, namun jika tidak mendalami ilmu agama, jati dirinya akan hilang.

“Situasi ini akhirnya akan memberi kesan buruk kepada dirinya sendiri. Sebab itu kita lihat, banyak kes orang kaya dan artis bunuh diri... ini semua sebab tekanan,” katanya selepas program Guru Pembina Negara Bangsa bertemakan Wanita Islam Di Alaf Baharu di sini.

Menurutnya, tekanan adalah salah satu penyakit roh yang hanya boleh ditenangkan melalui zikir.

“Duit banyak, rumah besar pun tak tenang juga, sebab itu ALLAH SWT ada menyebut mengingati-Nya akan menenangkan jiwa.

“Saya pernah tanya orang yang makan syabu, minum arak, adakah mereka tenang? Katanya, waktu ambil tu tenang tapi lepas tu serabut balik,” katanya.

Menurutnya, wanita yang berkerjaya walaupun sibuk perlu mencari ruang untuk dalami ilmu agama.

“Kita kena ada kesedaran bahawa belajar agama ini penting... Kalau tak ada kesedaran, kita sendiri boleh lihat apa kesannya orang yang tak belajar agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Lokeman Hazli berkata, cabaran kepada wanita Islam datang dari pelbagai sudut, antaranya ilmu, akidah, akhlak dan kemasyarakatan.

“Semua cabaran ini tidak bersempadan dan tak boleh dielak, jadi kita yang perlu ambil langkah tanganinya.

“Sebab itu, kerajaan sekarang ini juga mewujudkan akta baharu berkaitan berita palsu,” katanya.

Ditanya mengenai sikap mengumpat atau 'makcik bawang' yang menjadi trend di media sosial, Lokeman Hazli berkata, trend umpatan sebegitu berpunca daripada sikap yang jahil.

“Golongan ini tak tahu kesan buruk daripada sikap suka mengumpat sebab itu mereka sedikit pun tak heran.

“Sedangkan sikap ini beri kesan negatif kepada dirinya sendiri dari sudut psikologi.

“Individu berkenaan akan rasa dirinya sempurna, selamat dan akhirnya wujud sifat keangkuhan tanpa sedar dalam dirinya,” katanya.

Terdahulu, Lokeman Hazli membentangkan slaid Wanita Islam Pada Alaf Baharu dan mengadakan sesi soal jawab bersama 210 guru wanita dari daerah Kubang Pasu, Alor Setar dan Pendang di sini.

Penolong Pengarah Kanan Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran Sektor Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Md Tajudin Morad berkata, program berkaitan wanita alaf baharu ini adalah kali pertama dianjurkan oleh JPN bersama Kementerian Dalam Negeri.

“Insya-ALLAH kita akan memperluaskan lagi program ini kepada skop yang lebih besar melibatkan keseluruhan sembilan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com