Cake Terima 20 Aduan Isu Bekalan Air Di Kedah


ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendedahkan telah menerima lebih kurang 20 aduan berkenaan masalah bekalan air yang dialami penduduk di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Apa yang difahamkan, masalah ketiadaan bekalan air itu mula menghantui penduduk di beberapa kawasan sekitar Kota Setar, Pokok Sena dan Jitra.

Menurut Setiausaha Eksekutif Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff, pihaknya menerima aduan pengguna itu melalui panggilan telefon, emel dan WhatsApp.

“Berdasarkan aduan diterima, pengguna mendakwa aktiviti harian masing-masing terjejas berikutan bekalan air putus secara tiba-tiba.

“Malah, ada pengguna memberitahu terpaksa menyewa di hotel berikutan bekalan air tiada untuk memasak, mandi mahupun membasuh baju,” katanya.

Dilaporkan, rata-rata penduduk menyatakan kekecewaan mereka ekoran kelewatan menerima notis makluman mengenai gangguan bekalan air tersebut terlebih dahulu.

Yusrizal berkata, disebabkan itu, kebanyakan penduduk di kawasan terlibat berdepan masalah akibat tidak membuat persediaan awal dengan menyimpan air.

“Selepas bekalan air terhenti, pengguna beritahu barulah nampak notis makluman disebarkan menerusi aplikasi sosial. Jikalau nak lakukan kerja pembaikan sekalipun, maklumlah terlebih dahulu,” katanya.

Untuk itu, katanya, dia menyarankan pihak bertanggungjawab mengeluarkan notis awal kepada pengguna untuk membuat persediaan sepanjang tempoh masalah bekalan air itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com