Budak 11 Tahun Menang Pakej Perkahwinan RM20,000


Tuah nyata berpihak kepada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol, Setiu, apabila muncul seorang pemenang hadiah cabutan bertuah sempena Ekspo Terengganu 2018 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, malam semalam.

Nur Afrina Mohd Azmi, 11, yang juga anak sulung daripada tiga beradik menerima pakej perkahwinan bernilai RM20,000 sumbangan Primula Beach Hotel.

Cabutan itu dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Ibu kanak-kanak itu, Nur Shaarawati Deraman, 32, berkata dia bersama suami, Mohd Azmi Abllah, 44, serta tiga anak termasuk Nur Afrina hanya sekadar mencuba nasib.

“Sepanjang ekspo ini diadakan, sudah tiga kali kami datang ke sini iaitu pada Ahad, Khamis dan hari ini kerana tertarik dengan aktiviti yang diadakan di sini.

“Kami hanya mendaftar dan tidak meletakkan apa-apa harapan.

“Apabila diumumkan nama Nur Afrina, memang terkejut dan kami sendiri tidak mempunyai perancangan lagi mengenai pakej yang ditawarkan memandangkan Nur Afrina masih muda,” katanya.

Pada majlis itu, Pangsapuri Tok Pelam di Kuala Terengganu sumbangan kerajaan negeri menjadi milik pengunjung bertuah, Mek Yah Muda, 48, dari Kuala Terengganu.

Lebih 20,000 orang hadir pada malam penutup Ekspo Terengganu 2018 yang bermula 25 Mac dan berakhir 6 petang, lapor Metro.

Sumber: Suara TV

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com