BN Perlukan Mandat Pesawah Bagi Terus Majukan Kedah


ALOR SETAR - Mandat dari golongan pesawah seluruh negara khususnya negeri Kedah amatlah penting bagi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) supaya dapat terus memacu kerajaan kearah teratas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang menarik dan bukan omong kosong seperti didakwa pembangkang.

“Perdana menteri berjanji mengumumkan sesuatu pemberian kepada petani di seluruh negara pada malam keputusan PRU14.

“Untuk itu, yang penting kita (pesawah) perlu memberi mandat kepada BN terus menubuh kerajaan,” katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Program Siri Jelajah Muafakat, di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Tambahnya, golongan pesawah pada masa kini pastinya dapat menilai dengan jelas dan menimbang kerajaan mana yang akan membawa penduduk ke arah kemajuan dan menjamin masa depan mereka.

“Terima kasih kepada perdana menteri kerana pilih Kedah untuk melancarkan Bantuan Khas Pesawah peringkat kebangsaan di Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Korok, Alor Biak dekat sini, semalam (kelmarin), walaupun ramai pesawah di negeri lain.

“Walaupun, bantuan khas RM600 itu diberi secara ‘one-off’ sudah pun menjadi kejutan buat golongan pesawah di seluruh negara khususnya di Kedah yang mempunyai bilangan yang ramai. Kita (pesawah) kena tengok juga apa pengumuman yang istimewa daripada perdana menteri selepas diberi mandat pada PRU14, nanti,” katanya.

Ahmad Bashah menegaskan bantuan ‘one-off’ bantuan khas RM200 sebulan selama tiga bulan adalah satu bantuan diberikan selepas kerajaan menilai kesusahan yang dialami dan menghargai pengorbanan golongan pesawah, selama ini.

“Selama ini pun, kerajaan sedang membantu golongan pesawah, perdana menteri tengok tiap kali berlaku banjir, pesawah mengalami kerugian sama juga ketika musim penyakit menyerang hasil pertanian, pesawah turut mengalami kerugian. Dari situlah, bantuan khas diperuntukkan membantu golongan ini.

“Kedah antara negeri yang mempunyai bilangan pesawah yang ramai, mendapat manfaat daripada bantuan yang dilancarkan perdana menteri,” katanya.

Kelmarin, Najib melancarkan bantuan khas RM200 sebulan selama tiga bulan untuk 325,518 pesawah di seluruh negara.

Bayaran khas RM600 itu diberi secara ‘one-off’ bagi meringankan beban kewangan pesawah sementara menunggu hasil tuaian padi masing-masing. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com