Berat Badan Berlebihan Tanda Bahagia?


INDIVIDU yang telah berkahwin atau sedang menjalin hubungan dinasihatkan mengamalkan pemakanan sihat selepas kajian mendapati mereka yang telah berkahwin cenderung untuk menambah berat badan, lapor kompas.com

Penyelidik daripada Universiti Queensland, Australia yang mengambil data daripada 15,000 orang dalam tempoh 10 tahun mendapati mereka yang mempunyai pasangan secara purata menambah berat badan 5.7 kilogram setahun, sementara mereka yang bujang 1.7 kilogram setahun.

Ketua Penyelidik Stephanie Schoeppe menjelaskan, mereka bebas mengambil makanan dengan banyak dan mengandungi kandungan lemak dan gula yang tinggi kerana merasakan tiada lagi keperluan untuk tampil menarik untuk pasangan mereka.

“Pasangan yang mempunyai anak juga cenderung untuk menghabiskan makanan anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Prof Jerica Berge, daripada Jabatan Perubatan Keluarga dan Kesihatan Komuniti, Universiti Minnesota berpendapat, punca utama peningkatan berat badan pasangan disebabkan makan malam romantik dan tabiat sosial berkaitan makanan.

Bagaimanapun penyelidik di Central Queensland Universiti mendapati mereka yang telah berkahwin tidak semestinya mengamalkan gaya hidup tidak sihat berbanding mereka yang masih bujang.

Mereka mendakwa individu yang sedang menjalin hubungan, makan lebih banyak buah-buahan, cenderung untuk berhenti merokok, elak minuman beralkohol dan bersenam bersama.

Para penyelidik di universiti berkenaan turut menjelaskan, individu yang telah berkahwin lebih gembira, tidak merasa sunyi dan mempunyai tahap kepuasan seks yang lebih tinggi berbanding mereka yang masih bujang.

Kajian turut mendapati individu yang tinggal bersama pasangan mereka mempunyai jangka hayat 10 hingga 15 peratus lebih tinggi disebabkan kecenderungan menjaga kesihatan sesama mereka.

Namun mereka yang masih bujang juga mempunyai kelebihan, selain penambahan berat badan yang perlahan. Psychology Today mendakwa mereka yang bujang mempunyai kehidupan lebih baik dan lebih menghargai kehidupan.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com