Bayi Ditemui Merangkak Di Tengah Jalan, Ibu Didakwa


APABILA seseorang itu sudah bergelar ibu bapa, keselamatan anak nyata menjadi aspek terpenting yang menjadi keutamaan pada setiap masa.

Namun, kecuaian oleh ibu bapa masih berlaku sehingga hari ini apabila tindakan mereka yang tidak berwaspada dengan keselamatan mendatangkan bahaya buat anak-anak mereka.

Baru-baru ini, kita dapat melihat seorang bayi merangkak di tengah jalan raya di Thailand selepas bapanya tertidur dan membiarkan anaknya bermain seorang diri.


Kini, orang awam di New York, Amerika Syarikat (AS) pula gempar apabila seorang bayi dilihat merangkak di atas jalan raya sibuk di bandar raya besar itu.

Kejadian tersebut dirakam oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Rn Jay yang tular di media sosial menyaksikan bayi berusia sembilan bulan tersebut merangkak di atas jalan raya seorang diri.

Video berdurasi 60 saat tersebut menunjukkan tindakan dia bersama beberapa orang awam lain yang berada di tempat kejadian mengangkat bayi berkenaan dan memberikan bantuan kepada anak kecil itu.

Ramai pemandu yang kebetulan melalui jalan tersebut menghentikan kenderaan mereka untuk memberikan bantuan dalam kejadian yang berlaku di sebuah jalan raya yang terletak di Utica, New York.


Kelihatan seorang lelaki mula mengangkat bayi tersebut yang sedang menangis dan meminta pemerhati di tempat kejadian untuk menghubungi pihak berkuasa sementara dia cuba menenangkan bayi berkenaan.

Rn Jay yang merakam video itu kemudiannya meluahkan rasa tidak puas hatinya akan keadaan itu sambil menunjukkan riak muka yang seakan kecewa kerana kejadian tersebut berlaku.

“Bayi di jalanan, itulah yang terjadi di Utica sekarang.

“Itulah yang dilakukan oleh orang sekarang, anda faham maksud saya? Tinggalkan anak-anak di jalanan,” soalnya.

Ketika perakam sedang berbicara dengan seorang saksi kejadian, tiba-tiba suara seorang wanita didengari menjerit mengatakan bayi tersebut adalah anaknya.

“Itu bayi saya, itu bayi saya,” teriak wanita berkenaan sebelum video tersebut berakhir.

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Polis Utica, difahamkan ibu bayi tersebut yang dikenali sebagai Lerdrika E. Ford didakwa atas kesalahan kerana membahayakan kebajikan seorang anak.

Ford memberitahu pihak polis bahawa dia tidak tahu bagaimana anaknya yang sedang berada di kerusi belakang sebuah kereta tiba-tiba terlepas dan menghala ke jalan raya tersebut.

Wanita berusia 27 tahun itu mempunyai tiga anak lain selain bayi berkenaan dan kesemua anaknya itu telah diambil jabatan kebajikan selepas insiden tersebut.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com