Azeez Konsisten Bangunkan Baling, 13 Projek Bernilai RM1 Bilion


BALING - Di sebalik tohmahan kosong pihak tertentu terhadapnya, Ahli Parlimen Baling, Dato' Seri Abdul Azeez Abdul Raheem konsisten dalam usaha membangunkan daerah Baling sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini.

Menurut beliau, sebanyak 13 projek pembangunan berskala kecil dan besar melibatkan peruntukan keseluruhan hampir RM1 billion ringgit telah dan sedang dilaksanakan di daerah berkenaan sejak lima tahun lalu.

"Ini semua usaha yang kita buat untuk membangunkan daerah Baling.

"Di kesempatan ini saya bagi pihak rakyat Baling ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar kita, Dato' Seri Ahmad Bashah (Md Hanipah) yang telah banyak memberi bantuan kepada daerah Baling, khususnya daripada sudut pembangunan", katanya kepada Kedahnews.com, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Muafakat Ummah bersama para imam dan guru Kafa bagi Parlimen Baling yang bertempat di Kompleks Rakan Muda, Batu 42, Kupang.

Abdul Azeez berkata, antara projek berimpak tinggi tersebut ialah pembinaan Universiti Teknologi MARA, Hospital Pakar Baling, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia di Carok Sikin, Loji Rawatan Air Sungai Limau dan Projek Tebatan Banjir Kupang.

Selain itu, sebanyak tiga buah masjid baru turut dibina di daerah berkenaan, iaitu Masjid Lanai, Masjid Paya Besar dan Masjid Tembak, serta pembinaan jambatan Kuala Pegang yang memberi kemudahan kepada rakyat setempat.


Abdul Azeez turut menjelaskan bahawa Mukim Tawar di sini akan dijadikan kawasan perindustrian tidak lama lagi, sekali gus bakal menyediakan pelbagai peluang pekerjaan bagi anak-anak Baling dan sekitarnya.

Tambahnya, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang kini telah dinaik taraf menjadi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'adzam Shah (UniSHAMS) juga bakal menjadikan daerah Baling sebagai gedung ilmu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com