Ayam Bunian, 100 Menu Lain Di Restoran Nasi Bamboo Perak Boleh Buat Anda 'Pening'!


KALAU anda sudah jemu makan hidangan manusia, apa kata cuba makanan bunian pula.

Eh, wujud ke? Haa, jika anda tertanya-tanya tentang kebenarannya, anda patut berkunjung ke Restoran Nasi Bamboo di Sungai Klah, Perak, bagi merasai sendiri lauk popular di sini, ayam kampung bunian.

Menurut pemiliknya, Fareen Safinaz Mohamad Tahir, 44, resipi ayam kampung bunian diinspirasikan dari kisah rakannya yang bermimpi mengenai hidangan itu suatu ketika dahulu.


Ujarnya lagi, dia dan suami, Mukhizad Ahmad, 56, memerah idea untuk menghasilkan hidangan unik di restoran mereka sehingga terhasilnya resipi itu yang diolah sendiri berdasarkan cerita rakannya.

Sewaktu berkunjung ke Restoran Nasi Bamboo baru-baru ini, penulis sempat mencuba hidangan yang menjadi sebutan ramai itu.


Hidangan nasi dalam buluh atau Nasi Bamboo sering menjadi pilihan utama pelanggan di restoran ini.

Dihidangkan bersama nasi bamboo yang dimasak dalam buluh, ia ternyata satu gabungan sempurna yang tidak dijangka.

Rasa ayam kampung bunian yang diperap menggunakan beberapa rempah rahsia, memang enak dimakan bersama nasi istimewa itu. Aroma hidangan berkenaan sangat memikat selera.

Selain hidangan signatur ayam kampung bunian, restoran itu turut menawarkan lebih 100 menu lain yang pastinya membuat anda 'pening' untuk memilih.

Antara yang menarik perhatian ialah kambing salai, daging kambing gulai kawah batang pinang, gulai daging salai masak lemak cili api dan macam-macam lagi.

Lebih istimewa, daging kambing itu disalai 15 jam di rumah salai milik pasangan pengusaha.

Malah, restoran berkenaan turut menawarkan 15 jenis kerabu termasuklah kerabu mangga, kerabu perut, kerabu bunga betik, kerabu ulam raja dan kerabu pegaga.

Antara hidangan yang ditawarkan di restoran ini.

Fuh, kecur air liur penulis tatkala memikirkan semula pengalaman sewaktu menjamu selera di Restoran Nasi Bamboo.

Selain minuman biasa, restoran itu turut menawarkan 'coconut shake' istimewa yang mampu menyegarkan tekak di kala kepanasan cuaca tengah hari.

Pendek kata, penulis rambang mata sewaktu mahu memilih makanan. Semuanya nampak sedap dan menyelerakan seperti masakan bonda tercinta.

Dalam pada itu, penulis juga terkejut melihat kebanjiran manusia di restoran itu yang beroperasi dari jam 10.30 pagi hingga 6 petang.

                            Orang ramai beratur mengikut seksyen makanan yang disediakan.

Namun, anda tidak perlu risau kerana ruang premis berkenaan sangat luas dan berupaya memuatkan lebih 100 pelanggan pada satu masa.

Bagi memudahkan pelanggan, makanan juga dihidangkan mengikut beberapa bahagian atau seksyen seperti lauk pauk biasa, hidangan bakar, nasi dan bahagian air.

Jadi, mereka tidak perlu tertumpu di satu kawasan sahaja bagi mengambil makanan.

Ternyata, ia merupakan salah satu tarikan sekiranya anda berkunjung ke Perak.

Dan ia juga bakal menjadi lokasi wajib penulis sekiranya berkunjung lagi ke Perak pada masa akan datang.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com