Amiruddin Dijangka Bakal Calon MB Pakatan Harapan Di Kedah?


ALOR SETAR - Bekas pemimpin PAS, Dato' Amiruddin Hamzah yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijangka bakal dinamakan sebagai calon Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan menguasai Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Jangkaan tersebut adalah berdasarkan hubungan baik beliau dengan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir selain pengamalannya selama sepenggal sebagai Exco Kerajaan Negeri ketika bersama PAS sebelum ini.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang mengatakan beliau akan menyertai Parti Amanah Negara (PAN), namun dakwaan liar itu terbukti meleset apabila Amiruddin mengumumkan dirinya menyertai PPBM.

Biarpun nama Mukhriz disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar bagi Pakatan Harapan, namun beliau dilihat lebih gemar untuk mensasarkan kerusi Parlimen bagi membuka peluangnya untuk dilantik sebagai menteri kanan kabinet.

Selain Amiruddin, turut disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar bagi Pakatan Harapan di negeri ini adalah Adun Pengkalan Kundor, Dato' Phahrolrazi Zawawi yang terkenal dengan kebijaksanaannya berpolitik.

Juga berpengalaman sepenggal sebagai Exco Kerajaan Negeri, beliau hampir berjaya meletakkan diri sebagai Menteri Besar Kedah sebelum ini bagi menggantikan bekas Menteri Besar, Almarhum Tan Sri Azizan Razak.

Sebagai seorang pemimpin yang berpengaruh di dalam Parti Amanah Negara (PAN), Phahrolrazi dilihat sebagai tokoh paling tepat untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar berdasarkan senioriti beliau.

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan perlu terlebih dahulu menewaskan gerombolan PAS Kedah yang dilihat begitu teguh dan komited mengambil alih Kerajaan Negeri Kedah daripada Barisan Nasional (BN).

Sehingga kini, kajian yang dijalankan secara terperinci masih lagi menyebelahi BN bagi pertembungan tiga penjuru, diekori rapat oleh PAS dan difahamkan bahawa Pakatan Harapan berkemungkinan hanya menang di dua atau tiga buah kerusi Dun sahaja.

Sekiranya Pakatan Harapan mahu menguasai Kedah, gabungan DAP, PAN, PPBM dan PKR itu perlu mengatasi cabaran PAS terlebih dahulu sebelum mampu menewaskan BN. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com